36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Najib hadir perbicaraan 1MDB selepas dua hari dipenjara

Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 8.27 pagi.

Memetik laporan BH Online, bekas Perdana Menteri itu dijadual menghadapi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau dilihat dibawa menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam dan diiringi pihak polis dan Jabatan Penjara.

Ia adalah penampilan pertama Ahli Parlimen Pekan itu selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pada Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Prosiding hari ini akan bersambung dengan mahkamah mendengar keterangan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang akan diperiksa semula oleh pendakwaan.

Esok, Najib sekali lagi akan dibawa dari penjara ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan dakwaan kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Setakat ini, keadaan di sekitar perkarangan mahkamah tenang tanpa kehadiran ramai penyokong dan hanya petugas media yang hadir seawal jam 8 pagi.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan