33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Mohamaddin Ketapi umum sertai PBM

Memilih wadah perjuangan PBM setelah menilai dan meneliti perlembagaan parti itu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan terus dilantik sebagai Ketua Perhubungan parti itu bagi negeri Sabah.

Mohamaddin yang sebelum ini keluar daripada Warisan dan Bersatu berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai dan meneliti perlembagaan parti berkenaan iaitu memperjuangkan hak dan autonomi wilayah Borneo seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hari ini saya ingin mengumumkan secara rasmi bahawa saya kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Saya juga berasa berbesar hati kerana pada hari ini Presiden PBM yang juga Ahli Parlimen Julau, Larry Sng turut serta bersama kita pada kesempatan ini.

“Saya memilih wadah perjuangan parti ini setelah menilai dan meneliti perlembagaan parti ini yang menjadi teras penubuhannya iaitu memperjuangkan pelaksanaan hak dan autonomi wilayah Borneo Malaysia seperti yang termaktub di dalam perjanjian malaysia 1963 (MA63),” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama berkata, beliau menyerahkan keputusan penuh sama kepada pucuk pimpinan berhubung pencalonannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Buat masa sekarang, beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah dan merekrut lebih banyak ahli untuk parti itu.

“Jika anda tanya tentang itu (bertanding) saya tidak boleh cakap kerana ia bergantung kepada keadaan. Kalau (saya) kurang sihat mungkin tidak bertanding, kita akan ketahui bila tiba masanya.

“Apa yang saya akan fokus dan lakukan selaku Ketua Perhubungan PBM dan kerjasama dengan Parti Kuasa Rakyat Sabah, saya akan menjelajah ke seluruh negeri ini untuk merekrut lebih banyak ahli untuk PBM,” katanya.

Pada 30 Oktober tahun lalu Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Warisan dan menjadi wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas tiket Warisan itu kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kira-kira sebulan kemudian.

Bagaimanapun, pada 26 Jun beliau sekali lagi mengambil keputusan keluar daripada Bersatu kerana tidak diberi peranan seperti yang dijanjikan untuk memperkukuhkan parti berkenaan sebelum ini.

Awal Ogos lalu, media melaporkan PBM telah menghantar permohonan rasmi untuk menyertai Barisan Nasional (BN) bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, permohonan tersebut telah dibuat kira-kira tiga minggu lalu.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan