28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Radzi kekal Ahli Parlimen Putrajaya

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

DATUK Dr. Radzi Jidin mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putrajaya selepas mahkamah membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan terhadapnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faizah Jamaludin membenarkan permohonan bantahan awal yang dikemukakan Naib Presiden Parti Peribumi Bersatu (PPBM) itu untuk membatalkan petisyen yang difailkan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim.

Hakim memutuskan pempetisyen (Ahmad Faisal) gagal untuk membuktikan amalan rasuah dilakukan sama ada oleh responden (Radzi) atau ejennya.

“Kekurangan fakta dan butiran tertentu mengenai dakwaan rasuah kepada pengundi akan menjadikannya mustahil untuk membuktikan kesnya di luar keraguan munasabah jika perbicaraan diadakan. 

“Saya dapati petisyen itu tidak mematuhi peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya dan oleh itu ia cacat,” kata hakim menerusi prosiding dalam talian hari ini.

Beliau berkata, sebagai hakim pilihan raya beliau dikekang oleh kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Kegagalan pempetisyen mematuhi rayuan dan prosedur telah menyebabkan kecacatan bidang kuasa yang menghalang saya daripada mendengar petisyen. Oleh itu petisyen ini dibatalkan,” katanya.

Oleh itu, mahkamah turut memerintahkan Ahmad Faisal membayar kos RM20,000 kepada Radzi.

Peguam Hafarizam Harun, Norhazira Abu Hayan dan Amin Othman mewakili Ahmad Faisal manakala Radzi diwakili Yusfarizal Yussoff.

Dalam petisyen yang difailkan pada 26 Januari lalu, Ahmad Faisal memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Radzi tidak sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu kerana mendakwa ada bayaran RM150 diberikan kepada pengundi supaya mengundi beliau.

Rasuah itu didedahkan menerusi kumpulan WhatsApp pada 21 November dan 21 Disember tahun lepas serta 4 Januari tahun ini. 

Radzi memenangi kerusi Putrajaya dengan memperoleh 16,002 undi, menewaskan penyandang empat penggal, Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional yang memperoleh 13,692 undi. –  BERNAMA

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan