KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi.
KWSP dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.
“KWSP ambil maklum mengenai pengumuman terkini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi daripada sistem perbankan bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai,” katanya hari ini.
Ujar kenyataan itu lagi, maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan tersebut akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang.
Semalam, Anwar dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan bersetuju memperkenal kaedah secara kolateral iaitu menggunakan wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman.
Menurut Anwar, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan, dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Bagaimanapun, katanya mereka yang dicadangkan boleh melakukan pengeluaran itu hanya tertumpu kepada pencarum yang mempunyai wang dalam KWSP.
-EDISI9