25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Muhyiddin tak patut keluar kenyataan bangkit kemarahan – Anwar

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEBAGAI bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya tahu bahawa adalah tidak wajar membuat kenyataan terbuka yang mempunyai kecenderungan membangkitkan kemarahan dan berniat jahat semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Muhyiddin telah memutarbelitkan kebenaran dan menyebarkan kepalsuan berhubung gajinya sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, terutamanya apabila perkara yang sama telah disangkal secara terbuka olehnya tahun lalu.

Justeru, dalam jawapannya kepada kenyataan pembelaan Muhyiddin terhadap saman fitnah difailkannya, plaintif mendakwa kenyataan Muhyiddin semasa kempen pilihan raya di Padang Serai menjelang PRU15 tahun lalu, adalah fitnah dan berniat jahat.

“Muhyiddin sepatutnya tahu bahawa tidak wajar membuat kenyataan umum yang mempunyai kecenderungan membangkitkan kemarahan dan mencetuskan perasan niat jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara individu dan calon, untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, lebih-lebih lagi, apabila kenyataan tersebut bersifat fitnah dan berniat jahat.

“Walau bagaimanapun, defendan meneruskan untuk membuat perkara sama (menuduh fitnah dan/atau perkataan fitnah) melalui ucapannya dalam kempen pilihan raya yang jelas tidak dapat dinafikan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata Anwar dalam jawapan balasnya kepada Pengerusi Perikatan Nasional, yang difailkan melalui S.N. Nair & Partners bertarikh 16 Februari 2023.

Advertisements

Beliau seterusnya mendakwa tidak sukar bagi Muhyiddin untuk mengakses rekod Hansard Parlimen yang tersedia secara umum sebelum membuat dakwaan itu.

Ahli Parlimen Tambun itu berhujah bahawa Muhyiddin tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengeluarkan kenyataan yang didakwa palsu dan berniat jahat di kawasan Padang Serai yang bukan kawasan Parlimen Pagoh.

Dalam saman itu, Anwar, 75, mendakwa 5 Disember lalu, Muhyiddin telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya dalam ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim, sebagai menyokong calon PN ke-15 Pilihan Raya Umum, Datuk Azman Nasrudin, yang dihadiri orang ramai.

Anwar menuntut, antara lain ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi untuk menghalang Muhyiddin daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah yang serupa.

Pada 17 Januari lalu, Muhyiddin dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, antara lain, Anwar tidak seharusnya tersinggung dengan kritikan dan persoalan yang dibangkitkannya dalam ucapannya. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan