28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Elaun PPM KEMAS dinaikkan kepada RM800 sebulan – PM

Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota KEMAS (PBKAM) daripada RM300 kepada RM500.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN hari ini bersetuju menaikkan kadar elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat (PPM) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) daripada RM500 sebulan kepada RM800.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kenaikan elaun itu membabitkan seramai 9,439 PPM di seluruh negara.

Malah menurut beliau, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota KEMAS (PBKAM) daripada RM300 kepada RM500.

“Bagi mengenang jasa PBKAM seramai 4423 orang, hari ini saya luluskan bantuan sara hidup berkenaan dinaikkan kepada RM 500,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di Serdang, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan bagi tujuan digitalisasi Tabika KEMAS di 800 buah tabika berkenaan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM8 juta.

“Pejabat-pejabat kerajaan, kementerian pun dah digitalisasi… tetapi KEMAS masih belum didigitalislasi. Oleh itu saya bersetuju bagi peruntukkan supaya mula mendigitalisasi 800 buah tadika KEMAS seluruh negara.

“Ketua Pengarah akan berbincang dengan pihak kementerian apakah program digitalisasi tadika KEMAS,” katanya.

Jun lalu, media melaporkan nasib pembantu tabika kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang memperoleh elaun RM500 sebulan mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kertas kerja cadangan menaikkan elaun pembantu tabika telah dihantar untuk perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan