31.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 30, 2023

Malaysia cipta sejarah juara Hoki Dalam Dewan Asia

Membenam juara lapan kali, Iran 3-2 menerusi penentuan 'shoot-out'

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SKUAD hoki Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kali muncul juara dalam kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia, menewaskan juara bertahan Iran 3-2 menerusi penentuan shoot-out di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand hari ini.

Jaringan Muhamad Izham Azhar, Norsyafiq Sumantri dan Shello Silverius cukup untuk menundukkan juara lapan kali itu sejak pertama kali diperkenalkan pada 2008.

Kewibawaan penjaga gol negara, Mohd Khairul Afendy Kamaruzaman yang menafikan salah satu percubaan Iran telah menjulang Malaysia selaku juara.

Kejayaan skuad kendalian Muhammad Amin Rahim itu menamatkan dominasi Iran sekali gus membalas dendam kekalahan skuad kebangsaan dalam enam pertemuan sebelum ini termasuk dimalukan dengan kekalahan 2-12 pada kejohanan sama 2014 lalu.

Dalam aksi masa sebenar, kedua-dua pasukan terikat 4-4 yang mana dua gol dijaringkan oleh Ashran Hamsani serta masing-masing satu daripada Silverius serta Norhafizie Jamil Azomi.

Baca juga:   Laut China Selatan mesti kekal aman, stabil

Gol-gol Iran pula diperoleh menerusi Mohsen Bohlouli, Amirmahdi Mirzakhani, Mohammad Karimi dan Hamid Nooranian.

Untuk rekod Iran merupakan pasukan yang berada di ranking ketiga dunia bagi hoki dalam dewan manakala skuad Malaysia di kedudukan ke-21.

Sementara itu, skuad wanita pula menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Kazakhstan 2-0. Gol-gol dijaringkan oleh Iren Hussin dan Nur Aisyah Yaacob.

Kemenangan itu memperbaiki pencapaian sebelum ini yang mana skuad wanita negara menduduki tempat keempat dalam edisi 2019 di Chonburi, Thailand. 

Baca juga:   FATCA perkukuh hubungan percukaian Malaysia-AS

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Tiga terbunuh, nahas kereta bertembung di Pontian

TIGA terbunuh dalam nahas di Kilometer 5.7 Jalan Parit Semerah – Parit Kudus, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit...

Lagi Artikel Berkaitan