25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Imigresen tumpaskan sindiket pelacuran, “mak ayam” ditangkap

Sindiket dipercayai telah beroperasi hampir dua tahun.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pelacuran di Puchong, Selangor dan menangkap seorang “mak ayam” yang dipercayai menjaga pelacur warga asing ketika Ops Gegar, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam Ops berkenaan, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas menyerbu sebuah hotel dan seunit kondominium di Puchong, Selangor yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran.

Menurutnya, bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya menahan 25 wanita warga asing berusia 18 hingga 47 tahun iaitu 20 wanita Indonesia, Thailand (3) dan Vietnam (2) serta dua lelaki yang disyaki penjaga premis hotel dan merampas wang tunai RM9,325.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan wanita warganegara Indonesia yang berpenampilan seolah wanita tempatan sebagai daya penarik utama untuk memancing pelanggan.

“Dalam serbuan ke atas unit kondominium, pasukan serbuan telah menahan seorang wanita warga asing yang disyaki sebagai ketua atau “Mummy” berumur 28 tahun yang menguruskan dan menjaga wanita wanita warga asing di kondominium tersebut.

“Selain itu, beberapa kondom, pelincir dan buku rekod kehadiran bekerja serta senarai pelanggan turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, modus operandi sindiket adalah pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi Whatsapp dan pelanggan tersebut akan diberikan kata laluan untuk masuk ke hotel, tanpa kata laluan pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga premis.

Menurutnya, bayaran yang dikenakan sebanyak RM240 bagi sekali langgan khidmat seks.

“Pelacur yang sihat dan boleh bekerja akan ditempatkan di hotel dan akan bekerja bermula jam 11.00 pagi hingga jam 04.00 pagi keesokan harinya.

“Manakala pelacur yang tidak sihat dan tidak boleh bekerja akan ditempatkan di kondominium dan dijaga oleh Mummy. Mereka tidak dibenarkan keluar meninggalkan rumah dan tempat kerja.

Menurutnya, pergerakan ppelacur warga asing itu akan sentiasa diawasi oleh penjaga dan Mummy.

“Kondominium tersebut juga dijadikan tempat transit wanita yang baru tiba dari Indonesia atau Thailand sebelum dihantar ke hotel untuk bekerja sebagai pelacur.

“Sindiket dipercayai telah beroperasi hampir dua tahun,” katanya.

Menurutnya, semakan jabatan berkenaan mendapati wanita – wanita asing ini masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sah dan menepati syarat-syarat sebagai pelancong.

“Walau bagaimanapun mereka telah menyalahgunakan kemudahan PLS ini untuk melakukan kerja-kerja pelacuran dan tidak bermoral.

“Sehubungan itu, JIM mengambil tindakan serta merta mengetatkan kawalan di pintu masuk negara dengan membuat semakan yang lebih teliti dan tegas ke atas dokumen perjalanan serta sejarah perjalanan pelancong yang tiba dari negara – negara yang telah dikenalpasti banyak terlibat dalam penyalahgunaan PLS sebelum ini.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan