PENGUMUMAN Kerajaan menambah kadar Cuti Rehat Khas (CRK) sebanyak lima hari kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang berkhidmat lebih 10 tahun merupakan sebahagian daripada tranformasi pendidikan yang digerakkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, usaha tersebut merupakan usaha berterusan KPM untuk menambah baik dan memperkasa perkhidmatan keguruan dengan cadangan meningkatkan CRK guru diterima Kerajaan.
“Pengumuman tambahan kadar CRK sebanyak lima hari menjadikan jumlah CRK 15 hari setahun berbanding 10 hari sebelum ini kepada PPP yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun adalah sebahagian daripada perancangan transformasi pendidikan yang digerakkan KPM.
“Semoga warga pendidik memanfaatkan kemudahan ini sebaiknya,” katanya dalam Facebook hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kerajaan bersetuju menambah kadar CRK sebanyak lima hari menjadikan jumlah 15 hari kepada PPP yang berkhidmat lebih 10 tahun.
Pengumuman berkenaan dibuat ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi tadi.
Menurut Perdana Menteri, ia memberi manfaat kepada 500,000 guru bagi urusan mustahak dan kecemasan.
Selain itu, tambahan CRK sebanyak lima hari ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi.
-EDISI9