28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Thailand siap siaga hadapi gelombang ke-6 Covid-19

Ini kerana jumlah jangkitan harian melonjak melebihi 10,000 kes.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

IBU negara Thailand sedang bersiap-sedia berdepan gelombang keenam Covid-19 apabila jangkitan harian melonjak melebihi 10,000 kes, lapor akhbar Bangkok Post, semalam.

Memandangkan Thailand beransur pulih daripada sekatan berkaitan koronavirus, penyebaran subvarian BA.5 Omicron sekali lagi telah meletakkan Bangkok kembali dalam keadaan berjaga-jaga.

Meskipun Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menyatakan sudah bersedia untuk menghadapi gelombang baharu ini, Bangkok mungkin berdepan dengan puluhan ribu pesakit Covid-19 menjelang kemuncak penularan pada akhir Ogos.

Ketua Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal di Fakulti Perubatan, Universiti Chulalongkorn, Sr. Yong Poovorawan berkata trend peningkatan kes terutama di Bangkok memberi petanda gelombang baharu Covid-19 semakin hampir.

Yong berkata, perubahan strain Covid-19 lazim daripada subvarian BA.2 Omicron kepada subvarian BA.5 adalah punca utama di sebalik lonjakan baru-baru ini.

“Memandangkan jangkitan Covid terus meningkat, beliau menganggarkan puluhan ribu jangkitan baharu akan dicatatkan setiap hari menjelang akhir Ogos.

“Thailand akan menghadapi gelombang keenam wabak, di mana kita akan melihat kadar jangkitan yang lebih tinggi daripada gelombang sebelumnya.

“Memandangkan penularan kali ini berlaku sejurus selepas penyambungan semula pengajaran bersemuka di sekolah awam seluruh negara, virus itu akan merebak dengan mudah dalam kalangan pelajar di sekolah. Ia kemudiannya boleh terus merebak kepada ahli keluarga mereka dan menjangkiti ramai orang,” ujarnya.

Susulan daripada penyebaran wabak subvarian BA.5 Omicron di ibu negara, gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, beliau telah mengarahkan empat langkah awal untuk menangani lonjakan jangkitan Covid-19.

Ia termasuk menambah hari bekerja tambahan di semua 69 Pusat Kesihatan Awam di bawah BMA pada setiap Sabtu, membuka kiosk vaksinasi tanpa janji temu di pusat tersebut pada setiap Jumaat dan Sabtu, saringan Covid-19 proaktif di sekolah dan kempen vaksinasi lebih agresif yang menyasarkan kumpulan rentan.

“Walaupun BMA tertumpu pada penjagaan primer dan promosi kesihatan, dari segi penjagaan perubatan lanjutan, BMA mempunyai 11 hospital di bawah kendaliannya yang terdiri daripada 11 peratus daripada keseluruhan kapasiti katil hospital di Bangkok.

“BMA bukanlah satu-satunya pentadbir sistem kesihatan awam Bangkok. Jadi kami perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan lain seperti Kementerian Kesihatan Awam, sekolah perubatan serta tentera dan polis yang kesemuanya mempunyai hospital tersendiri sebagai sebahagian daripada sistem kesihatan awam,” tegas Chadchart. – Agensi

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan