24.3 C
Kuala Lumpur
Friday, January 17, 2025

Pemuda UMNO persoal BNM naikkan lagi kadar OPR

Alasan bagi mengurangkan kadar kenaikan inflasi sukar diterima

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMUDA UMNO hari ini mempersoalkan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana ia akan meningkatkan perbelanjaan isi rumah dan peniaga yang mempunyai pinjaman bank.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, justifikasi kerajaan bahawa peningkatan OPR boleh mengurangkan kenaikan kadar inflasi tidak boleh diterima secara konklusif.

Sebaliknya, menurut beliau, kerajaan perlu melihat secara lebih luas di luar kotak bagaimana menghadapi penguncupan ekonomi negara tanpa menyalurkan beban tersebut kepada rakyat secara langsung.

“Peningkatan OPR sebanyak beberapa mata asas, walaupun kelihatan kecil, impaknya kepada rakyat adalah amat besar.

“Keluarga yang mempunyai beberapa pinjaman bank seperti pinjaman rumah, kenderaan dan peribadi, mungkin akan bertambah perbelanjaan bulanan sebanyak ratusan ringgit.

hutang
Gambar: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

“Para peniaga, termasuk industri besar yang mempunyai pinjaman perniagaan, tambahnya, akan terpaksa menaikkan harga barang atau perkhidmatan mereka, yang pastinya akan dibebankan kepada pengguna iaitu rakyat,” kata beliau dalam Facebook hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu mengumumkan OPR dinaikkan 25 mata asas, menjadikan kadarnya ketika ini 2.25 peratus.
Kadar siling dan lantai OPR sekali gus meningkat kepada 2.50 dan 2.00 peratus.

Pada Mac lalu, BNM telah menaikkan OPR kepada 2.00 peratus namun Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz berkata ia tidak akan membebankan peminjam walaupun berlaku peningkatan terhadap kadar pinjaman yang perlu dibayar.

Advertisements

Beliau berkata, peningkatan OPR sebaliknya dijangka akan memanfaatkan deposit yang diwakili sebahagian besar golongan M40 menerusi peningkatan faedah dan keuntungan diterima pendeposit.

Asyraf berkata, ini bukanlah masa yang sesuai untuk mempertimbangkan cadangan pembatalan subsidi, pengapungan harga siling dan meningkatkan kadar faedah kerana semua itu bakal meningkatkan kadar inflasi secara langsung.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Malaysia sedang dalam proses peralihan fasa endemik di mana seluruh negara termasuk industri, peniaga dan semua rakyat sedang bangkit semula memperbaiki keadaan ekonomi.

“Isu kenaikan kos sara hidup harian sudah mula dirasai oleh ramai rakyat termasuk kebimbangan oleh berita-berita kemungkinan penarikan subsidi, pengapungan harga serta ketidakcukupan bekalan barang-barang keperluan harian.

“Tuntasnya, peranan kerajaan pada waktu ini adalah sangat penting dalam memastikan kadar inflasi tidak terus meningkat dengan ‘upaya menyeluruh’ bagi memastikan kos-kos berkaitan kehidupan harian rakyat tidak naik,” tegas beliau.

Asyraf berkata, sebaiknya kerajaan harus merancakkan ekonomi negara dengan meningkatkan perbelanjaan bagi peningkatan dan penambahbaikan infrastruktur.

Selain itu menggalakkan pelaburan, memudahkan urusan dan prosedur perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan tidak mengadakan sebarang langkah yang boleh menyebabkan kos harian rakyat meningkat perlu dilaksanakan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lima beregu negara melangkah bergaya ke separuh akhir

LIMA beregu negara masing-masing dua beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita melangkah bergaya ke separuh akhir...

Lagi Artikel Berkaitan