25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

KPDNHEP serbu premis jual minyak masak secara ‘online’

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal selepas menyerbu dua premis berasingan di Petaling Jaya dan Puchong, Selangor pada Jumaat lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan pada pukul 12 tengah hari itu dijalankan tujuh anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor hasil aduan yang diterima daripada orang awam.

Menurutnya, sejumlah 255 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dianggarkan bernilai RM637.50 dan 27 unit minyak masak botol sekilogram, 2 kg dan 3 kg berjumlah RM858 berjaya disita.

Jelas beliau, premis yang diserbu di Petaling Jaya merupakan sebuah kediaman yang disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit sebelum dijual secara online manakala di Puchong pula melibatkan sebuah rumah kedai yang dijadikan stor penyimpanan.

“Serbuan ke atas premis di Petaling Jaya telah menemui sejumlah 255 kilogram minyak masak peket bersubsidi bersama beberapa jenis barangan runcit lain yang akan dijual atau diedar kepada pelanggan secara online dan turut merampas beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan.

Advertisements

“Hasil maklumat yang diperolehi, minyak masak peket tersebut dijual pada harga RM 2.50 bagi satu kilogram dan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai pembantu premis turut direkodkan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Azman, pemeriksaan di Puchong pula berjaya menemui sejumlah minyak masak kemasan botol sekilogram, 2 kg dan 3 kg di dalam premis tersebut.

Tambah beliau, premis berkenaan telah mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang masih sah tempoh namun alamat didaftarkan dalam lesen didapati berbeza daripada alamat premis yang menyimpan barang-barang kawalan itu.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kedua-dua kes berkenaan akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit termasuk maklumat daripada mana bekalan minyak masak itu diperolehi,” ujarnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan