28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Agungnya kasih ayah, benteng anak rebah di padang kawad

Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AGUNGNYA kasih seorang ayah.

Itulah yang mampu digambarkan apabila seorang ayah sanggup membantu anaknya yang rebah di padang kawad untuk berdiri tegak sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Kajang, Selangor, hari ini.

Detik-detik meruntun yang mengundang air mata itu dikongsikan sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam hantaran di Facebook beliau.

Menurut Alexander, si ayah menerpa dari arah khemah tetamu ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari.

“Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata.

“Yang hadir di padang kawad sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pagi tadi menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya.

Yang bermain di fikiran ketika terlihat perkara itu, sama ada ayah ingin mengusung anaknya keluar barisan. Ternyata sangkaan sedemikian meleset.

“Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah,” katanya hari ini.

Ujar Alexander lagi, melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing.

“Saya tidak terkecuali. Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah – hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantarannya di Facebook memaklumkan lelaki yang tumbang itu adalah Nik Mohd Adhar, anak angkatnya yang kini bertugas sebagai pengguat kuasa KPDNHEP di Tawau, Sabah.

“Beliau anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah seorang anak angkat kami sejak beliau di Sekolah Geting Tumpat lagi.

“Dalam gambar yang meluru kepada beliau dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya beliau jatuh pitam seketika ketika berkawad pagi tadi ialah bapa saudaranya yang bernama Abdul Aziz Ya’acob yang memeliharanya sejak kematian kedua ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, Nik Mohd Adhar demam ketika berkawad.

“Moga Allah beri kesembuhan yang sempurna kepadanya.

-EDISI9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan