25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Agong titah jangan jadikan agama bahan jenaka

Kesatuan sebuah masyarakat majmuk boleh dicapai dengan menghormati dan memahami kepelbagaian yang sedia ada.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kesucian agama di negara ini perlu sentiasa dipelihara dan dihormati pada sebilang masa.

Seri Paduka Baginda bertitah, jangan ada mana-mana pihak sesekali memperkecil, menghina dan mempersenda agama, semata-mata atas nama kebebasan bersuara.

“Agama bukanlah satu perkara untuk bergurau senda dan dijadikan bahan jenaka. Beta khuatir, perbuatan sedemikian bakal menyemarakkan api perkauman dan meruntuhkan ikatan perpaduan antara semua kaum yang sudah terbina sejak sekian lama,” titah Seri Paduka sempena Sambutan Maal Hijrah 1444 hari ini.

Justeru, mengambil keberkatan kedatangan tahun baharu hijrah, baginda menyeru seluruh rakyat memelihara nikmat dan rahmat sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat ini.

“Sejarah peristiwa hijrah ini perlu dijadikan asas dalam melestarikan semangat perpaduan dan kemakmuran kaum di negara ini.

“Usaha-usaha hendaklah dirangka supaya seluruh rakyat Beta tanpa mengira bangsa dan agama, dapat hidup bersatu padu dan aman serta makmur, bernaung di bawah raja pemerintah yang berdaulat dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan,” titah Baginda.

Menghayati sirah Rasullullah SAW, baginda bertitah, kesatuan sebuah masyarakat majmuk boleh dicapai dengan menghormati dan memahami kepelbagaian yang sedia ada.

Titahnya, Rasulullah SAW sudah mengamalkan sifat yang inklusif dengan menerima kepelbagaian yang wujud di kota Madinah ketika itu dan tidak membezakan antara puak, kabilah dan agama.

“Menerusi cara itu, baginda dapat membentuk sikap toleransi dan lebih penting lagi berjaya menyangkal sebarang prasangka negatif terhadap sesuatu kaum mahupun agama.

“Sebenarnya sifat berburuk sangka, iri hati dan sentiasa mencari kesalahan orang lain, adalah sifat tercela yang dimurkai okeh Allah SWT. Sifat ini membawa kesan negatif yang boleh mengaburi prinsip keadilan dan kesaksamaan, sehingga akhirnya meruntuh serta memecahbelah kesatuan ummah dan menghapuskan sejarah tamadun negara,” titahnya.

Baginda bertitah, tuntutan hijrah pada hari ini bukan hanya bermaksud perpindahan, tetapi ianya membabitkan transformasi minda bagi membentuk budaya hidup berteraskan kepada moral dan etika.

“Sesuai dengan tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu – ‘Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran’, jadikanlah peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan kepada kita untik membina sebuah negara yang stabil dan gemilang,” titahnya.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan