31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Sikap toleransi dapat elak perbalahan merugikan – PM

Ma'al Hijrah tahun ini bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sikap toleransi atau berlapang dada bukan hanya membolehkan negara terus membangun sehingga dihormati, bahkan dapat mengelak daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan.

Bahkan, beliau menyatakan, dalam menjaga keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia, semua pihak diseru untuk mengamalkan konsep Tasamuh atau toleransi yang dituntut dalam Islam yang sangat bersifat universal

Menurutnya, semangat Tasamuh berkenaan telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW semasa membangunkan kota suci Madinah di mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang.

“Semangat Tasamuh ini telah diterjemahkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat ketika sebulat suara meluluskan Rang Undang Undang Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti semalam apabila sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Ma’al Hijrah 1444H/2022M bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran, malam ini.

Untuk rekod, Ma’al Hijrah tahun ini bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

Tema ini bersesuaian dengan latar kehidupan kita pada hari ini selepas lebih dua tahun berjuang memerangi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.

Ujar Ismail Sabri lagi, Ma’al Hijrah bukan sekadar menghayati penghijrahan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dari kota suci Mekah ke kota Madinah bagi menyebarkan syiar Islam, tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih besar.

“Cabaran pada hari ini sudah tentunya menuntut kecekalan dan ketahanan jiwa setiap daripada kita, sepertimana semangat pengorbanan kaum Muhajirin, yang sanggup meninggalkan harta dan kediaman.

Bagaimanapun menurut beliau, dengan semangat kebersamaan, Keluarga Malaysia berjaya berhijrah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

“…fokus paling utama pada waktu ini adalah untuk kita sama-sama menjadi pemangkin kemakmuran kesihatan dan ekonomi demi Keluarga Malaysia.

“Dalam ruang lingkup tugas tersendiri, kita semua bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan, dan kesyukuran sepertimana yang ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, atas usaha dan kebersamaan, impak daripada krisis yang dihadapi seluruh dunia pada hari ini (pandemik Covid-19) dapat dilalui biarpun kesannya tetap dirasai. – Edisi 9


Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan