34.5 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

UMNO perlu serlahkan barisan bersatu, kuat hadapi PRU-15

Mesti Baca

UMNO perlu menyerlahkan barisan yang bersatu dan kuat tanpa ada sebarang perbalahan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, adalah wajar bagi pemimpin dan ahli-ahli parti itu menunjukkan sikap positif dan konstruktif dengan menampakkan usaha ke arah penyatuan yang lebih jitu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, parti yang menampakkan imej tidak bersatu tidak diterima oleh rakyat dan ia jelas ditunjukkan pada keputusan beberapa pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.

“Sangat penting untuk kita menampakkan kesatuan dalam parti sebab kalau dilihat penggal Parlimen ketika ini hanya berbaki maksimum setahun, oleh itu adalah sangat penting untuk UMNO memperlihatkan barisan yang bersatu dan kuat tanpa ada sebarang perbalahan.

“Selain daripada rakyat hendak melihat kejujuran, keikhlasan dalam membela nasib mereka, mereka hendak mengundi parti dengan perpaduan yang tinggi, bukannya memilih parti yang sentiasa berbalah.

“Kita melihat pengalaman dalam PRN, ada parti tidak menunjukkan mereka bersatu, tidak diterima oleh rakyat. Sebab itu, saya berharap sesiapa yang menyumbang kepada persepsi tidak sihat, untuk mereka hentikan,” katanya.

Menteri Kesihatan itu berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perkhidmatan Otorinolaringologi (ORL) dan Makmal Tidur (SL) Kluster Negeri Sembilan di Hospital Rembau, yang turut disiarkan menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Advertisements

Khairy mengulas mengenai dakwaan timbulnya persepsi bahawa UMNO ketika ini mempunyai dua kem berbeza.

Beliau berkata, kritikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah satu tindakan yang tidak membantu dalam usaha parti Melayu terbesar itu menampakkan kesatuan menuju PRU-15.

Katanya, Nur Jazlan tidak harus bercakap seperti itu kerana ada banyak saluran jika ada sesuatu yang perlu disampaikan sama ada kepada presiden parti atau Perdana Menteri.

“Yang terbaik adalah saluran dalaman, terutama apabila ia membabitkan komen mengenai kepemimpinan parti atau negara yang sekarang diterajui oleh Perdana Menteri dari UMNO.

“Jadi, saya harap sikap daripada pemimpin UMNO harus menampakkan penyatuan yang lebih jitu. Saya dulu pun banyak komen tetapi sekarang adalah masa untuk kita bina semula parti. Kalau tidak setuju, boleh cakap dalam mesyuarat atau secara peribadi.

“Tidak perlu kita lemahkan parti kita dengan komen yang tidak konstruktif di khalayak dan media. Lebih baik kita mainkan peranan yang proaktif kepada parti dan beri tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat,” katanya.

Terdahulu, Nur Jazlan dilaporkan melabel Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Giliran calon PH tayang keputusan UPSR, SPM

SELEPAS calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menayangkan sijil akademik pengajiannya, kini giliran calon Pakatan Harapan (PH) pula...

Lagi Artikel Berkaitan