TERLALU banyak agensi yang mengendalikan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini menyebabkan berlaku pembaziran serta merugikan negara.
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, terdapat 11 agensi dan kementerian yang terlibat dalam penyediaan TVET di Malaysia.
Beliau berkata, keadaan itu bersifat kontra dengan negara-negara maju yang lain di mana hanya satu hingga tiga agensi sahaja yang bertanggungjawab dalam menyelaraskan TVET di negara mereka.
“Perkara sebegini akan menjurus kepada pembaziran di mana peratusan untuk kos pengurusan oleh agensi-agensi yang terlibat akan melebihi kos yang sepatutnya digunakan bagi menaik taraf proses pendidikan TVET itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Azman berkata, kerajaan juga sepatutnya turut menitikberatkan bagaimana untuk menarik minat dan kesedaran belia dalam menceburi bidang TVET.

“Langkah promosi dan penerangan perlu diperbanyakkan sejak di peringkat sekolah lagi bagi membuka mata belia tentang potensi bidang ini di masa hadapan sekali gus dapat dijadikan pilihan utama dalam menyambung pengajian.
“Ia selaras dengan slogan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ yang diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memposisikan TVET di laluan pendidikan utama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan penjenamaan dan reputasi TVET, termasuk melalui Program Dermasiswa B40 TVET melibatkan 1,000 orang pelajar dengan dana sebanyak RM36.41 juta.
Beliau berkata, dengan kemampuan yang dimiliki negara di samping sokongan kuat daripada pihak kerajaan, MBM yakin negara mampu untuk menjadi kuasa ekonomi global.
Bagaimanapun menurutnya, bagi mencapai tahap berkenaan, dana yang diperuntukkan untuk pembangunan TVET haruslah diagihkan sebaik mungkin.
Beliau turut memuji langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan tarikh 2 Jun sebagai Hari TVET Negara.
“Sesungguhnya ini merupakan berita baik kepada semua penggiat TVET negara yang bertungkus lumus dalam memastikan aliran ini dapat diangkat ke tahap yang lebih baik,” katanya.
-EDISI9

