28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kritikan terbuka Nur Jazlan terhadap PM tidak wajar – Mahdzir

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KRITIKAN terbuka Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah sesuatu yang tidak wajar.

Perkara itu ditegaskan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mahukan para pemimpin parti itu menggunakan saluran yang betul jika ada sebarang ketidakpuasan hati terhadap Perdana Menteri.

“Sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen dan sekarang ketua bahagian, dia (Nur Jazlan) tidak sepatutnya buat teguran seumpama itu, carilah saluran yang ada dalam parti.

“Saya rasa sedih, sebab kita sedang kumpul kekuatan untuk pergi kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan tak payah ada komen seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) di Changkat Jong, Teluk Intan, Perak hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengulas kritikan terbuka Nur Jazlan yang menganggap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dari UMNO yang paling lemah dalam sejarah.

Beliau menyifatkan kenyataan Nur Jazlan itu sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi.

Ahli Parlimen Padang Terap itu menjelaskan kenyataan Nur Jazlan itu juga tidak menggambarkan UMNO berada dalam keadaan berpecah.

Sebaliknya parti itu kata Mahdzir, berada dalam solidariti yang baik dan kukuh.

Tambahnya, adalah lebih baik bagi seseorang pemimpin UMNO untuk berdiam diri dan tidak membuat sebarang kritikan secara terbuka yang boleh menimbulkan polemik.

Baru-baru ini sebuah portal berita melaporkan Nur Jazlan mengkritik tindakan Ismail Sabri yang lewat membuat keputusan berhubung jawatan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.

Ia berikutan tindakan Zuraida mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan