27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Tular feri terbakar di perairan Langkawi kejadian tahun 2019

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan berlaku kejadian feri penumpang terbakar di perairan Langkawi hari ini.

Terdahulu tular beberapa gambar dan video sebuah feri terbakar dengan puluhan penumpang sedang dipindahkan ke bot lain menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa menjelaskan, kejadian dalam rakaman video yang ditularkan itu berlaku pada 2019.

“Syarikat feri tersebut juga malah sudah tidak lagi beroperasi,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! hari ini.

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom kesal dengan penularan berita palsu itu.

“Satu Malaysia panik dan syarikat kami dihujani dengan pertanyaan tentang kebakaran ini sedangkan ia kejadian lama.

“Ia merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab apatah lagi apabila ia mendatangkan trauma dan panik dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Kata beliau, penularan berita palsu seperti itu sedikit sebanyak menjejaskan usaha memulihkan industri pelancongan di Langkawi pada fasa pasca pandemik Covid-19.

Dalam kejadian pada 25 Februari 2019, seramai 52 penumpang berjaya diselamatkan bot persendirian dan anggota bomba selepas feri dinaiki terbakar.

Feri tersebut dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan