Thursday, July 23, 2026

Dakwaan Maritim Malaysia serbu Masjid Rusila tidak berasas

Tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar sebagaimana dakwaan, sebaliknya para pelatih hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid tersebut - Mohd Rosli Abdullah

Mesti Baca

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan konon pasukan elitnya melakukan serangan di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah menegaskan, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral operator pasukan elit negara.

“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi.

“Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas kami,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Rosli, latihan yang dimaksudkan ialah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), latihan penting bagi membentuk daya tahan, disiplin dan kebijaksanaan anggota dalam berinteraksi dengan masyarakat ketika melaksanakan misi penyamaran.

“Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.

“Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar sebagaimana dakwaan, sebaliknya para pelatih hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid tersebut.

Malah ujar beliau, elemen keagamaan diterapkan sebagai asas pegangan para pelatih dalam meningkatkan jati diri dan integriti mereka sebagai seorang penguat kuasa dan operator pasukan khas.

Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan, isu laporan polis yang timbul, telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.

“Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota maritim yang bukan sahaja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau lagi.

Mohd Rosli menegaskan, dakwaan itu merupakan satu fitnah yang berniat jahat terhadap Maritim Malaysia.

Sementara itu beliau mengesahkan aktiviti tersebut di bawah kawalan jurulatih kanan dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi yang ketat. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan