AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan 16,259 kes jenayah maritim sejak penubuhannya pada 2005, mencerminkan komitmen tinggi dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kejayaan ini merangkumi pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan terlarang, pencerobohan nelayan asing, dan pemerdagangan manusia.
“Sepanjang hampir dua dekad, Maritim Malaysia telah berjaya melaksanakan pelbagai operasi bersepadu dan strategi penguatkuasaan bagi menangani jenayah maritim.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih anggota kami yang bertugas di laut dan darat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Rosli berkata demikian ketika mengulas sumbangan dan kejayaan APMM sepanjang dua dekad dalam menjaga perairan negara.

Tambah Mohd Rosli, antara kes berprofil tinggi yang berjaya diselesaikan termasuk kejadian rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony pada 2015 dan MT MGT 1 pada 2017.
Kedua-dua kes ini menyaksikan kerjasama APMM dengan pihak berkuasa antarabangsa dalam memburu dan menangkap pelaku jenayah terbabit.
“Selain itu, Maritim Malaysia juga berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran yang diketuai seorang wanita warga asing, Ibu Ani di Selangor.
“Ini menunjukkan komitmen kami dalam memerangi jenayah pemerdagangan manusia,” tambahnya.
Menurutnya, kejayaan Maritim Malaysia tidak terhasil secara bersendirian, sebaliknya melalui kerjasama erat dengan agensi tempatan dan antarabangsa.
Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi penguatkuasaan maritim dari Amerika Syarikat, Australia, Jepun, dan Indonesia.
“Kerjasama ini membolehkan perkongsian maklumat risikan yang lebih berkesan serta operasi bersepadu yang memberi impak besar dalam mengekang aktiviti jenayah di laut,” katanya.
Dalam usaha mempertingkatkan keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan. Maritim Malaysia kini giat memperluaskan penggunaan teknologi terkini seperti Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) serta penggunaan dron dan Unmanned Aerial Vehicles (UAV).
“Kami turut meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan di laut serta mengoptimumkan sumber manusia dalam operasi harian,” katanya.
Selain penguatkuasaan jenayah, Maritim Malaysia juga telah melaksanakan 3,285 operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sejak 2006 hingga 2024, melibatkan 16,517 mangsa dengan kadar kejayaan penyelamatan mencecah 85 peratus.
“Maritim Malaysia akan terus berusaha memastikan perairan negara bebas daripada ancaman, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan yang selamat,” ujar Mohd Rosli. – Edisi 9

