SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat selebriti terkenal dan pengasas produk kecantikan kerana memuat naik kandungan yang boleh disifatkan sumbang dan jelik dalam laman media sosial masing-masing.
MCMC berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan pemeriksaan bagi tujuan siasatan terhadap ketiga-tiga individu terbabit di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, semalam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya selebriti yang mempunyai pengaruh di dalam masyarakat seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan peka untuk tidak memuat naik kandungan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCMC sebelum ini menerima aduan daripada orang ramai berhubung tindakan selebriti dan pempengaruh itu yang memuat naik rakaman video berbaur lucah dalam media sosial masing-masing.
Rakaman itu pertama kali dimuat naik oleh Liana Rosli atau juga dikenali Kak KM menerusi Instagram miliknya yang kemudian menjadi perhatian orang ramai terutama kalangan warganet.
Dalam video tersebut Kak KM bersama Dato Sri Vida dan Ifa Raziah berdiri di belakang kereta mewah sambil menepuk bahagian punggung sehingga mengundang kecaman warganet.
Mereka terkejut dengan aksi yang dilakukan oleh ketiga-tiga mereka, dipercayai bagi tujuan untuk menghasilkan kandungan media sosial namun mengundang tidak selesa dalam kalangan warganet.
MCMC berkata, kes tersebut masih dalam siasatan.
-EDISI9