KESUNGGUHAN seorang lelaki membawa bayinya semasa bekerja sebagai penghantar barangan menjadi tular sejak beberapa hari lalu mendapat perhatian pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew.
Ebit Lew berkata, beliau telah bertemu secara empat mata dengan lelaki tersebut dan mendengar sendiri kisah hidupnya.
“Sebak bila lihat video adik ni bawa anaknya sambil kerja menghantar makanan. Motor pinjam dengan mentua. Isteri kerja butik baju.
“Duit tak cukup. Menangis je masa jumpa tadi. Terharu dapat berjumpa. Saya hadiahkan motor baru untuknya dan minta adik ni cari pengasuh untuk anaknya,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Bahkan Ebit Lew turut memberi jaminan akan menjelaskan bayaran bulanan bagi pengasuh anak lelaki berkenaan.
“Nanti saya akan bantu bayar bulanan pengasuh. Ulang kali abang ni ucap terima kasih.
“Saat kita merasa kita susah ada orang lain yang lagi memerlukan. Bila hadiahkan motor melihat air matanya membuat kita rasa lebih bersyukur.
“Besar nilai rezeki tak sangka-sangka. Semuanya dari Allah,” kongsinya.
Ebit Lew turut mendoakan agar Allah mudahkan hidup lelaki tersebut.
“Berkatkan rezeki buat keluarga ini. Doakan buat semua saudara kita yang dalam kesusahan di luar sana yer,” kongsinya.
Hantaran berkenaan mendapat pelbagai reaksi positif dari warganet yang rata-ratanya mengucapkan terima kasih atas bantuan dan keprihatinan Ebit Lew bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
-EDISI9