25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Penentuan harga maksimum ayam, telur dilanjut sehingga 30 Jun

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENENTUAN harga maksimum ayam dan telur bagi ayam standard, ayam super dan telur ayam dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Kabinet bersetuju dengan perlanjutan itu diambil bagi memastikan Keluarga Malaysia bersedia dengan perubahan harga apabila penentuan harga berkenaan berakhir kelak.

Beliau berkata, penentuan harga ayam dan telur dilaksanakan sejak 5 Februari lalu dan sepatutnya akan berakhir pada Ahad ini.

“Harga maksimum bagi runcit ayam dan telur di Semenanjung sudah ditetapkan iaitu RM8.90 bagi setiap sekilogram ayam bulat standard, ayam bulat super (RM9.90/kg), telur ayam gred A (43 sen sebiji), telur ayam gred B (41 sen sebiji) dan telur ayam gred C (39 sen sebiji).

“Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, Harga Maksimum Ayam dan Telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Tambahnya, sebagai kerajaan yang prihatin, Kementerian Kewangan akan meneliti cadangan pemberian bantuan untuk golongan sasar yang berpendapatan rendah termasuklah kadar dan mekanisme penyaluran bantuan bagi menangani kenaikan harga barang apabila penentuan harga maksimum itu berakhir.

“Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus meningkatkan penguatkuasaan setiap hari di seluruh negara untuk menentukan bekalan sentiasa stabil dan tiada pencatutan berlaku di pasaran.

“Oleh itu, KPDNHEP mengingatkan kepada komuniti peniaga supaya sentiasa beretika dalam menjalankan perniagaan dan tidak mencatut untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah.

“Kerajaan juga ingin menggalakkan semua pengguna menggunakan kuasa beli mereka dalam membeli mengikut keperluan dan berbelanja secara berhemah.

“Pelaksanaan penentuan harga ini akan berkesan sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing termasuk dengan cara menyalurkan aduan dan maklumat kepada KPDNHEP sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar undang-undang ditetapkan,”katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan