28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Padang SNBJ: Tak wajar nak tuding jari kepada FAM

Stadium Kuala Lumpur di Cheras gagal memenuhi spesifikasi yang ditetapkan AFC untuk dijadikan venue kedua

Mesti Baca

TIDAK wajar untuk menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) umpama bendang padi ketika aksi Malaysia dan Bahrain dalam aksi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 tempoh hari.

Sebaliknya Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku tuan punya rumah sepatutnya menyediakan keperluan bagi menghadapi kemungkinan termasuk ketika sekiranya hujan lebat dan air bertakung.

Beliau agak kecewa dengan sikap PSM yang cuba menyalahkan pihaknya dalam isu tersebut kerana FAM terpaksa melakukan sesuatu termasuk menggunakan segala peralatan yang ada bagi mengeluarkan air yang bertakung di tengah padang.

“Bahrain sudah cakap mereka tak nak main sebab padang teruk. Kita terpaksa ambil tindakan segera, kalau tidak perlawanan malam itu dibatalkan. Kalau jadi macam tu lagi banyak masalah. Jadi nak tak nak kita usahakan juga apa cara untuk keringkan padang.

“Kita tak boleh nak tangguh perlawanan sampai setengah jam kerana AFC (Persekutuan Bolasepak Asia selaku penganjur) sudah terikat dengan pelbagai pihak termasuk hak siaran langsung di seluruh Asia, pemain pun sudah panaskan badan.

“Kita hanya penyewa, mereka tuan punya rumah. Takkan penyewa yang nak kena sediakan keperluan. Sepatutnya tuan punya rumahlah siapkan,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Faidz Sanusi tampil menjelaskan berhubung isu keadaan padang yang dianggap memalukan negara dengan menuding jari kepada FAM kerana enggan menangguhkan perlawanan 30 minit bagi membolehkan semua air memasuki sistem perparitan di bawah padang tersebut.

Beliau juga menyatakan tidak ada mengeluarkan arahan agar para pekerjanya menggunakan penyodok sampah dan papan lapis untuk membuang air bertakung di dalam padang.

“Tindakan ‘penyodok sampah’ adalah tidak wajar dan secara tidak langsung mengakibatkan padang tersebut rosak,” katanya seperti dilapor media.

Ditanya mengenai cadangan PSM agar menggunakan Stadium Kuala Lumpur sebagai venue yang tidak membabitkan pasukan negara, Firdaus berkata, stadium tersebut gagal memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh AFC.

“Pihak AFC dah buat pemeriksaan dan mereka dapati Stadium Kuala Lumpur tidak sesuai dimainkan pada waktu malam sebab lampu limpah kurang terang. Begitu juga dengan kemudahan bilik persalinan, jadi sebab itu kita hanya guna SNBJ.

“Ramai yang tak tahu hal ini, saya tahulah sebab saya yang masuk mesyuarat,” katanya kesal.

Mengenai pertemuan Turkmenistan dan Bahrain serta Malaysia berhadapan Bangladesh dalam perlawanan terakhir Kumpulan E esok, Mohd Firdaus berkata, pihaknya sudah dimaklumkan oleh AFC untuk meneruskan perlawanan di SNBJ.

Bagaimanapun, pihaknya sudah menyediakan beberapa keperluan sekiranya keadaan serupa berulang menjelang pertemuan esok dan berharap pihak PSM juga telah membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan