27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kebun komuniti diperluas bagi realisasi agenda hijau negara – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KONSEP kebun komuniti yang diusaha oleh masyarakat setempat akan diperluas bagi merealisasi agenda hijau negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa agensi-agensi kerajaan berkaitan agar turut membantu terutamanya memudahkan urusan serta memberi bantuan yang diperlukan.

Menurutnya, beliau amat menghargai daya usaha masyarakat setempat yang bertindak memajukan sendiri persekitaran mereka agar menjadi lebih hijau dan lestari.

“Sebagai contoh, Projek Komuniti Kebun-Kebun Bangsar dan Kebun-Kebun Kerinchi di Kuala Lumpur ini.

“Menariknya, kebun sayur-sayuran ini diusahakan oleh komuniti setempat menggunakan dana mereka sendiri untuk mendidik dan menggalakkan penglibatan orang ramai dengan hasil tanamannya, turut dikongsi dengan golongan kurang berkemampuan.

“Konsep pemerkasaan komuniti inilah yang ingin saya perluaskan bagi merealisasi agenda hijau negara,” katanya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri berkata, agenda hijau juga perlu disemai di peringkat pentadbiran kerajaan tempatan dengan mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu menjadi Bandar Raya Bebas Karbon pada tahun 2050.

Perdana Menteri berkata, komitmen negara menerusi pelaburan sifar atau rendah karbon dan teknologi hijau diharap dapat menarik pelabur-pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi hab pelaburan hijau.

“Pelan dan dasar kerajaan yang saya nyatakan tadi turut digembleng bersama-sama dengan sektor korporat dan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di bawah Rangka Kerja dan Sasaran Kemampanan Perniagaan berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Antaranya menurut beliau membabitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu sasaran portfolio pelaburan full ESG compliant menjelang tahun 2030 dan pelepasan GHG sifar pada tahun 2050 dan Permodalan Nasional Berhad (PMB) iaitu sasaran peruntukan modal baharu berjumlah RM10 bilion untuk pelaburan aset hijau menjelang tahun 2030.

“Tidak lama lagi Khazanah Nasional akan mengumumkan rangka kerja dan sasaran kemampanannya yang bakal menjadi penanda aras komitmen dan sasaran syarikat-syarikat di bawahnya.

“Saya mahu semua syarikat pelaburan di bawah GLIC menyelaras pelan tindakan dan sasaran kelestarian mereka diikuti dengan pemantauan dan laporan lebih terangkum.

Beliau berkata, menerusi pentadbiran secara bersama Kementerian Kewangan dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG Trust Fund) diwujudkan dengan peruntukan RM20 juta sebagai dana permulaan bagi menyokong program kerajaan berorientasikan Matlamat Pembangunan Lestari di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan sambutan tahunan kita kali ini bertemakan Hanya Ada Satu Bumi atau Only One Earth sempena ulang tahun ke-50 penganjuran persidangan pertama PBB tentang alam sekitar.

Menurutnya, Projek Taman Tugu merupakan suatu inisiatif tanggungjawab korporat yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad, dengan kerjasama DBKL, organisasi sektor awam dan swasta serta organisasi masyarakat sivil.

-EDISI9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan