24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bersatu Perlis nafi bahagian Kangar lumpuh

Tindakan ahli keluar parti hanya membabitkan dua daripada tiga bahagian Arau dan Kangar

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BADAN Pimpinan Negeri Bersatu Perlis menafikan parti itu kini bermasalah dengan ramai pemimpin dan ahlinya didakwa meninggalkan parti selepas hilang kepercayaan kepada barisan kepemimpinan negeri.

Ketuanya, Abu Bakar Hamzah berkata, tindakan ahli Bersatu Bahagian Kangar dan Arau keluar parti seperti didakwa dalam laporan media hanya membabitkan dua daripada tiga bahagian di negeri itu dan jumlah yang meninggalkan parti itu bukan seperti yang dilaporkan.

Justeru, beliau yang juga Ketua Bahagian Kangar menafikan Bersatu bahagian itu kini lumpuh selepas 1,000 ahli dilaporkan meninggalkan parti itu.

“Selepas kita teliti semula, tidak sampai 50 ahli bahagian Kangar dan Arau yang keluar parti. Di bahagian Kangar hanya kira-kira 20 ahli keluar parti termasuk Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Kangar, Shaharani Husin dan bakinya dari bahagian Arau.

“Ketua Srikandi Bahagian Kangar, Normi Aziz masih bersama kita dan tidak ada yang menjadi pemangku jawatannya seperti dilaporkan. Ketua Armada Kangar (Hafis Yahya) juga masih bersama kita dan tidak meletakkan jawatan.

“Jadi dakwaan kata Bersatu Kangar lumpuh itu tidak benar kerana ketika ini hanya membabitkan tiga cabang saja di bahagian itu,” katanya menurut laporan BH Online.

Advertisements

Beliau mengulas laporan media yang menyatakan Bersatu Bahagian Kangar yang didakwa lumpuh selepas hampir semua ahli jawatan kuasa serta ketua di lapan cawangan di sini, meletak jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Lebih parah, hampir 1,000 ahli di bahagian berkenaan dikatakan turut mengikut jejak langkah sama selepas hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian merangkap Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah.

Naib Ketua Bersatu Bahagian Arau, Sharif Abdul Razak turut mengumumkan peletakan jawatannya.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, tindakan ahli keluar parti adalah perkara biasa yang berlaku membabitkan semua parti termasuk Bersatu dan perkara itu tidak menjejaskan parti.

Setiap hari juga, katanya, Bersatu Perlis menerima banyak permohonan masuk dan kini sedang giat menambahkan jumlah ahli serta menyusun semula penubuhan lebih banyak cawangan.

“Mana-mana parti pun akan ada masalah. Saya akui sebelum ini wujud masalah di cawangan dan kita sudah pun memperbaikinya dan merapatkan semua jentera parti sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) dalam waktu terdekat,” katanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan