26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

UniKL MIAT jalin kerjasama dengan Cranfield University UK

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

INSTITUT Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) mengorak langkah ke depan bagi melahirkan tenaga pakar dalam bidang aeroangkasa menerusi jalinan kerjasama dengan Cranfield University di United Kingdom.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata, jalinan kerjasama itu dirangka bagi program pasca ijazah yang berteraskan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional peringkat tinggi atau High-TVET (H-TVET), bagi mendokong pembangunan teknologi dan keperluan industri aeroangkasa negara.

“Saya semalam sempat berjumpa dengan Pro Naib Canselor, Profesor Helen dan juga Dekan Kejuruteraan Aeroangkasa dan kita kalau boleh kita hendak supaya universiti ini dapat memberi kerjasama dengan UniKL untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian pelajar-pelajar kita,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Jelas Mahdzir, persetujuan jalinan kerjasama itu dicapai hasil daripada sesi libat urus bersama Pro Naib Canselor Cranfield Univerity, Profesor Helen Atkinson di kampus universiti itu di Bedfordshire, United Kingdom semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Melalui kerjasama itu kata Mahdzir, UniKL dapat meningkatkan kepakaran dan tenaga kerjanya untuk mengendalikan program pengajian TVET peringkat tinggi atau H-TVET untuk program pasca ijazah selaras dengan keperluan industri dan teknologi aeroangkasa yang terkini.

“Kerjasama sebegini akan merapatkan hubungan di antara kedua-dua buah universiti yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pembangunan industri melalui program pasca ijazah yang bakal dijalankan di UniKL.

Selain itu tambah Mahdzir, kerjasama itu juga membolehkan UniKL membina pusat kecermerlangan serantau program pasca ijazah aeroangkasa yang berorientasikan kepada keperluan industri.

“Ia sekaligus mampu mewujudkan ekosistem diantara pemain industri aeroangkasa sama ada di peringkat pengurusan atau teknikal yang dapat mencernakan pembangunan syarikat-syarikat aeroangkasa Malaysia ke peringkat global.

“Untuk itu, satu perjanjian kerjasama bagi tempoh lima tahun akan dimeterai tidak lama lagi diantara kedua-dua pihak,” katanya.

Menurut Mahdzir, kelebihan Cranfield University adalah kaitannya secara langsung dengan syarikat Airbus dan Rolls-Royce yang boleh dimanfaatkan oleh UniKL MIAT.

“Kita di UniKL MIAT di Sepang dan Subang telah ada pelajar dalam kejuruteraan aeroangkasa di peringkat sijil profesional, diploma dan ijazah sarjana muda.

“Jadi kita nak tingkatkan lagi kualiti capaian pelajar-pelajar dan kita hendak supaya ada peningkatan dari segi dalam capaian di peringkat sarjana dan juga Phd,” jelas Mahdzir.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan, Pejabat Dekan dalam Pengurusan Projek UniKL MIAT, Mulia Minhat, Cranfield University juga bersetuju untuk memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar UniKL menerusi program perantisan dan latihan praktikal di universiti itu.

Mulia yang bertanggung-jawab dengan program Pembangunan Strategik Latihan Teknikal Aeroangkasa UniKL MIAT ini menambah, graduan program Ijazah Sarjana Muda UniKL juga akan mendapat pendedahan luas kepada teknologi aeroangkasa terkini dan bekerja dengan syarikat-syarikat aeroangkasa antarabangsa.

UniKL MIAT katanya, terbabit dalam pembangunan aeroangkasa selaras dengan Pelan Rangka Kerja Industri Aeroangkasa negara dan juga Pelan Cetakbiru Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

“Ini akan membantu mereka menjadi lebih yakin dan berketerampilan dan akhirnya meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk mendapat peluang pekerjaan di syarikat-syarikat global aeroangkasa.

“Dari erti kata lain, graduan sedemikian berpotensi untuk menjadi tenaga kerja bakat masa hadapan dan berpendapatan tinggi dan akhirnya, dapat membantu negara menjadi negara berpendapatan tinggi,”jelas Mulia.

Bagi Profesor Helen Atkinson, hubungan rapat Cranfield University dengan industri selain mempunyai kemudahan penyelidikan terkemuka dunia, membolehkan pelajarnya memperolehi kemahiran tinggi sekaligus memberi manfaat kepada syarikat aeroangkasa di seluruh dunia.

Cranfield University katanya, berbangga kerana mempunyai sebuah pusat penyelidikan terkemuka iaitu Pusat Teknologi Penyelidikan Penerbangan Digital (DARTeC).

“Saya gembira dapat bertemu dengan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Ramlan Harun dan Datuk Azhar Abdul Manaf serta delegasi minggu ini dan membincangkan kerjasama yang lebih erat, agar dapat membina keupayaan aeroangkasa negara pada masa hadapan,” kata Profesor Helen.

Untuk rekod, Cranfield University menduduki ranking kelima di UK bagi bidang Kejuruteraan – Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan dalam senarai Ranking Universiti Dunia mengikut Subjek tahun 2022.

88 peratus penyelidikan di universiti itu dikelaskan sebagai terkemuka dunia atau cemerlang di peringkat antarabangsa berdasarkan Rangka Kerja Kecemerlangan Penyelidikan 2021. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan