24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Bekas isteri SM Faisal dipenjara gagal patuh tarikh lawat anak

Peguam Syarie, Nazri Yahya yang mewakili Emilia, berkata anak guamnya akan menjalani hukuman itu di Penjara Wanita Kajang.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Emilia Hanafi hari ini menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berhubung tarikh lawatan tiga anaknya.

Hukuman itu dijalankan bermula hari ini selepas Emilia, 43, menyerah diri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi ini.

Peguam Syarie, Nazri Yahya yang mewakili Emilia, berkata anak guamnya akan menjalani hukuman itu di Penjara Wanita Kajang.

“Selepas menjalani hukuman itu, anak guam saya akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai,” katanya seperti dilapor BH Online.

Sementara itu, adik Emilia, Ezhan Shahril, 42, yang ditemui di mahkamah amat berharap akan ada keadilan untuk kakaknya apabila dibebaskan nanti.

“Saya juga sudah menghantar sendiri surat rayuan kepada Istana Negara tiga bulan lalu supaya hukumnya dapat dikurangkan, namun hingga kini tiada jawapan,” katanya.

Terdahulu, Emilia ketika hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kira-kira jam 10 pagi berharap kesnya menjadi contoh kepada orang lain.

“Saya juga berharap semoga ada pihak yang dapat membantu melihat kes saya di mahkamah,” katanya yang hadir memakai jubah putih.

Sebelum ini media melaporkan, Emilia akan menyerah diri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini dan menjalani hukuman penjara tujuh hari dan dikatakan terpaksa berbuat demikian kerana tekanan emosi yang berterusan serta trauma dihadapinya.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia selepas membenarkan permohonan komital (menghina mahkamah) yang difailkan SM Faisal, 43, apabila wanita itu mengubah tarikh lawatan anak-anaknya.

Advertisements

Emilia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Jun lalu, Emilia turut memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya.

Ibu tiga anak itu menamakan SM Faisal, bekas ibu mentuanya Puan Sri Zaleha Ismail, 70, dan lima pihak lain sebagai responden.

Turut dinamakan sebagai responden iaitu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Dalam permohonan itu, Emilia menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah hanya mempunyai bidang kuasa mahkamah tempatan yang terhad berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Emilia memohon suatu deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital dan menghukum individu yang bukan pemastautin Wilayah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Emilia juga memohon suatu perintah larangan untuk menahan prosiding komital syariah iaitu permohonan kebenaran mengeluar Notis Tunjuk Sebab (NTS) di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan oleh SM Faisal.

Turut dipohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan itu dan NTS yang telah dimeterai.

Permohonan itu juga turut membabitkan pembatalan semua surat, notis, arahan, perintah atau arahan yang mesti dipatuhi atau arahan lain yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur.

Beliau juga memohon suatu perintah interim untuk menggantung semua prosiding dan pelaksanaan apa-apa perintah bagi prosiding syariah sementara menunggu pelupusan muktamad pendengaran prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan