36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ahli Parlimen Batu Pahat nafi keluar Bersatu

Menyifatkan berita yang tersebar sebagai propaganda murahan dan minta segera dihentikan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menafikan beliau akan meninggalkan Bersatu.

Bahkan, beliau menyifatkan berita yang tersebar itu sebagai propaganda murahan dan meminta ia segera dihentikan.

“Berhentilah mengadu domba dengan propaganda murahan untuk melemahkan Bersatu.

“Hanya beberapa jam sebelum tersebar berita palsu itu, saya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di satu program dan sidang media di Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar Mohd Rashid lagi, beliau menghargai dan berterima kasih dengan maklum balas serta keyakinan Muhyiddin terhadapnya berkaitan isu itu yang menunjukkan ada pihak tertentu ketandusan isu sehingga mencipta serangan sedemikian.

“Mereka cuba untuk memberi tekanan dengan persepsi negatif yang kononnya boleh melemahkan Bersatu. Moga Allah SWT menjauhkan kita semua daripada sebarang bentuk fitnah seperti ini.

“Sejak hari pertama bersama Bersatu, saya cukup yakin dengan masa depan parti. Saya akan terus bersama saf kepemimpinan Bersatu bagi menyatupadukan rakyat dan membina kekuatan negara.

“Ini bagi merealisasikan matlamat menjadikan negara ini sebuah negara yang bersih, telus, berintegriti, mempunyai tadbir urus yang baik, memperjuangkan keadilan sosial dan sentiasa prihatin kepada kemaslahatan rakyat,” katanya.

Mohd Rashid berkata, Bersatu adalah parti Melayu dan Pribumi yang menawarkan politik baharu yang bersih serta memperjuangkan kebajikan dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah sejak awal menyertai Bersatu, saya mempunyai keyakinan tinggi ke atas komitmen parti dalam usaha menentang rasuah dan membela rakyat.

“Bersatu parti politik yang masih muda, namun saya percaya agenda penyatuan rakyat, Melayu dan Bumiputera ini bakal membawa manfaat besar dalam usaha membawa perubahan kepada negara dan rakyat keseluruhannnya.

“Rakyat, orang Melayu dan Bumiputera pada hari ini semakin matang dalam menilai, mereka jijik dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Selasa lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyangkal dakwaan Mohd Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar meninggalkan parti berkenaan.

Berita itu tersebar susulan tindakan seorang lagi ahli MPT, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), namun Mohamed Azmin turut menafikan dakwaan berkenaan sebaliknya berikrar akan terus bersama parti terbabit.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan