29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Sapura patut contohi AirAsia X kembalikan keuntungan – Najib

Mesti Baca

SAPURA Energy Berhad (Sapura) yang kini berhadapan kerugian besar sepatutnya mencontohi langkah yang diambil oleh AirAsia X bagi mengembalikan keuntungannya.

Cadangan itu dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah melihat kejayaan AirAsia X meraih keuntungan RM33.6 bilion pada suku ketiga tahun ini setelah rugi RM 5.67 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, sepertimana dihadapi AirAsia X, kerugian paling besar Sapura yang dilapor pada tahun lalu akibat proses susut nilai serta kemerosotan nilai aset-asetnya.

Menurutnya, kekurangan modal kerja telah menghalang syarikat minyak dan gas itu daripada beroperasi secara biasa setelah bank-bank menarik balik kemudahan kewangan bagi mereka.

“Maka cara paling mudah untuk menyelesaikan masalah kekurangan modal kerja dan kemudahan bank supaya syarikat itu boleh beroperasi dan menggunakan aset-aset tersebut untuk menjana semula cashflow (aliran tunai).

“Masalah jangka masa pendek ini boleh diselesaikan dengan jaminan kerajaan kemudahan bank kepada Sapura ataupun Petronas mengambil alih secara sementara,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

AirAsia X berjaya mengembalikan keuntungan dalam tempoh setahun. – Gambar hiasan

Bekas Menteri Kewangan itu amat tidak bersetuju dengan tindakan menjual aset-aset dimiliki oleh Sapura kepada orang asing dengan harga yang murah setelah aset-aset itu dirosotkan nilai.

Katanya, sekiranya masalah kekurangan modal kerja Sapura itu diselesaikan, aset-aset syarikat tersebut bakal menjana pendapatan yang tinggi pada ketika permintaan sektor minyak dan gas dunia semakin naik ke paras tertinggi.

Katanya, hampir kesemua aset Sapura yang pernah dirosotkan nilai sedang diperlukan dan dikejar syarikat-syarikat minyak seluruh dunia setelah harga minyak kini semakin mencatat paras tertinggi.

“Dan Sapura akan terpaksa untuk menulis balik bahagian besar kerugian yang dicatat sebelum ini sebagaimana dibuat AirAsia X.

“Jangan short-term sangat, people. Nanti kita kesal hari kemudian. Fokus untuk menyelesaikan masalah utama, bukan fokus pada jual aset-aset kepada orang asing dengan harga murah,” kata beliau.

Najib berkata, kejayaan AirAsia X mengembalikan keuntungannya dalam dengan kadar lebih besar dalam tempoh singkat kerana syarikat itu telah “menulis balik” (write-back) bahagian kerugian-kerugian amat besar yang dicatat syarikat tersebut.

Ini dilakukan setelah AirAsia X melakukan susut nilai serta kemerosotan nilai aset (impairments) ke atas aset-aset mereka ketika pandemik.

“Ketika pandemik, aset-aset mereka dikatakan tidak bernilai sebab tidak boleh digunakan dan tidak menjanakan sebarang cash-flow.

“Sebab itu syarikat tersebut membuat keputusan untuk merosotkan nilai-nilai aset dalam buku dan mencatat kerugian amat besar ketika pandemik,” katanya.

Namun, jelas Najib, kerugian akibat proses merosot nilai aset ketika itu adalah kerugian di atas kertas ataupun accounting loss sahaja.

Kini, aset-aset AirAsia X, kata beliau, boleh digunakan dan mula menjana perniagaan semula manakala proses penstrukturan semula syarikat tersebut juga telah selesai.

“Dengan itu, syarikat tersebut terpaksa menulis balik kerugian akibat merosot aset untuk melaporkan keuntungan gergasi sebanyak RM33.6 bilion,” katanya.

Semalam, Sapura dilapor telah menjual kapal milik mereka Sapura 3000 dengan nilai USD71.50 juta (RM312 juta) kepada sebuah syarikat asing, Safeen Feeder Company – Sole Proprietorship LLC, sebuah syarikat dalam Abu Dhabi Ports Group.

Sehubungan itu, Najib yang agak kesal dengan tindakan tersebut berkata: ” Juallah. Jatuh ke tangan asing. Berapa banyak aset lagi nak jual?” – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan