24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Polis siasat pergaduhan di restoran di Bahau

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan yang tular di laman sosial Twitter akibat rasa tidak puas hati seorang wanita terhadap harga makanan di sebuah restoran nasi kandar di Bahau dekat Seremban, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata kejadian kira-kira 1 pagi itu berlaku selepas juruwang restoran itu didakwa meninggikan suara kepada wanita terbabit yang mempertikaikan harga makanan sehingga menyebabkan anak lelakinya berasa berang dan membaling kotak tisu ke arah juruwang.

“Seorang pekerja yang melihat kejadian berkenaan terus menumbuk lelaki itu sebelum dileraikan pekerja lain dan pelanggan berada di situ. Restoran mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi ia tidak berfungsi.

“Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Dalam pada itu, Hoo turut menafikan dakwaan ada campur tangan polis dalam menyelesaikan kes ini (setel tepi) dan mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Beliau meminta pelanggan dan orang awam yang berada dalam restoran tersebut tampil untuk membantu siasatan selain turut menasihat orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi di laman sosial yang boleh menganggu siasatan dan ketenteraman awam.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 41 saat di Twitter memaparkan insiden pergaduhan di restoran terbabit.- Bernama

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan