27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Jepun, Malaysia teroka kerjasama bidang baharu – PM

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jepun bersetuju untuk meneroka kerjasama dengan Malaysia dalam bidang-bidang baharu.

Menurut Perdana Menteri, yang bidang baharu yang boleh diceburi termasuk industri termaju (cutting edge industries), industri penerbangan dan angkasa, bandar pintar, bekalan tenaga, dan perubahan iklim.

Beliau berkata, dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, kedua-dua negara bersetuju agar kerjasama perdagangan dan pelaburan terus dipertingkatkan.

“Sememangnya kerjasama Malaysia-Jepun dalam bidang ekonomi sangat menggalakkan. Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015.

“Nilai dagangan pada tahun 2021 berjumlah USD 35.9 bilion, berbanding USD 29.6 bilion pada tahun 2020 atau meningkat sebanyak 20 peratus,” kata Ismail Sabri semasa mengakhiri lawatan rasminya ke Jepun di Tokyo, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Fumio Krishida di Tokyo, semalam.

Perdana Menteri berkata, Jepun juga merupakan pelabur ketiga terbesar dalam kategori jumlah projek sektor pembuatan dengan nilai pelaburan dari tahun 1980 hingga 2021 sebanyak USD 27.6 bilion dengan 2,709 projek sektor pembuatan dilaksanakan

Kata beliau, pada tahun 2021 juga sebanyak USD 1.81 bilion jumlah pelaburan telah dicatatkan dengan melibatkan 25 projek sektor pembuatan diluluskan.

“Antara pencapaian yang signifikan dalam lawatan ini, saya dan Kishida telah menyaksikan pemeteraian tiga memorandum kerjasama (MOC),” kata beliau.

Ini termasuj MOC antara kerajaan Malaysia dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun (METI) mengenai Industri Pesawat yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

MOC dalam Rangka Kerja Asas bagi Perkongsian Maklumat Operasi berkaitan Sumber Pekerja Asing dengan status penduduk kategori pekerja mahir yang dikenal pasti yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.

Advertisements

Serta MOC antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT) mengenai kerjasama dalam bidang belia dan sukan.

“Dalam sesi lawatan kerja rasmi saya ini juga, saya telah mengadakan sesi libat urus dan ramah mesra bersama hampir 30 syarikat konglomerat Jepun.

“Saya menghargai sambutan yang menggalakkan daripada pimpinan tertinggi syarikat-syarikat ini,” kata Perdana Menteri.

Katanya, syarikat-syarikat multinasional Jepun turut menyatakan hasrat untuk menerokai peluang perdagangan dan meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Antaranya Mistsubishi Corporation, Mitsui & Co Ltd, Marubeni Corporation, Aeon Co Ltd, Japan Petroleum Exploration Co Ltd

dan ENEOS Corporation.

Ismail Sabri berkata, dalam sesi khas pula, banyak hasil yang bakal dapat dimanfaatkan Malaysia, antaranya cadangan JAMECA untuk menganjurkan Seminar Polisi Pandang ke Timur di Malaysia pada Ogos tahun ini.

Seterusnya usaha sama di antara Mitsubishi Power dengan syarikat tempatan, THB Power Sdn. Bhd. dalam menyediakan solusi tenaga (energy solution) yang selari dengan komitmen kerajaan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Hasil daripada mudah cara pelaburan oleh kerajaan, saya turut menerima hasrat syarikat Mitsui Fudosan untuk menambah pelaburan di Malaysia dalam sektor pembangunan hartanah.

“Saya percaya lawatan kerja rasmi saya di Jepun ini mampu merancakkan kembali sektor ekonomi di Malaysia khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia,” kata beliau.

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan