29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pertemuan bagi merintis kerjasama parti selain BN – Muhyiddin

Berikutan beberapa pemimpin parti politik termasuk Pejuang menyuarakan pandangan kepadanya agar parti-parti selain BN merintis bentuk kerjasama politik.

Mesti Baca

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin parti selain Barisan Nasional (BN) sebagai inisiatif untuk merintis hubungan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, ini berikutan beberapa pemimpin parti politik termasuk Pejuang menyuarakan pandangan kepadanya agar parti-parti selain BN merintis bentuk kerjasama politik.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, langkah tersebut bagi mengelak pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 sepertimana berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang dimuatkan dalam Facebooknya hari ini:

Selepas Pilihan Raya Negeri Johor, saya didatangi oleh beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada Parti Pejuang.

Mereka menyuarakan pandangan kepada saya bahawa lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong Barisan Nasional yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi.

Tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.

Ini menyebabkan BN dapat memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat.

Mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa.

Pandangan seumpama ini juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik.

Oleh itu, saya telah mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU-15.

Ini adalah langkah awal untuk dapatkan pandangan pemimpin parti-parti politik dan tiada keputusan muktamad dibuat.

Pertemuan saya dengan Tun Dr Mahathir yang diatur selepas seorang pemimpin kanan parti Pejuang datang menemui saya adalah sebahagian daripada inisiatif ini.

Semalam, Mahathir Mohamad berkata, Muhyiddin menemuinya baru-baru ini untuk meminta bantuan bagi mendapatkan semula jawatan Perdana Menteri.

“Muhyiddin jumpa saya, beliau mahu saya sokong percubaannya untuk jadi PM sekali lagi,” kata bekas Perdana Menteri itu seperti dilapor media.

– Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan