PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kesyukuran kerana pada Ramadan tahun ini, umat Islam dapat kembali merapatkan saf untuk menunaikan solat fardhu dan tarawih secara berjemaah.
“Sepanjang kita diuji dengan pandemik COVID-19, umat Islam di Malaysia tidak dapat mengimarahkan masjid seperti menganjurkan majlis berbuka puasa dan moreh, manakala solat fardhu dan tarawih berjemaah terikat dengan SOP yang ketat.
“Umat Islam dapat kembali merapatkan saf untuk menunaikan solat fardhu dan tarawih secara berjemaah, serta menyemarakkan program ihya Ramadan, tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri.
“Alhamdulillah, kita kini dalam fasa peralihan ke endemik, yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan normal.
“Kita percaya ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tidak berpeluang menyambutnya pada Ramadan yang lepas.
“Walaupun kita diberikan kelonggaran, tetapi pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan. Jangan leka dan terus mengamalkan kawalan kendiri,” katanya dalam ucapan khas beliau sempena Ramadan malam ini.
Beliau berkata, Ramadan bulan penuh barakah ini adalah peluang untuk menginsafi diri, dan mengumpul pahala dengan memperbanyakkan amalan bersedekah.
“Semoga bulan Ramadan dapat memperkuatkan aspek rohani Keluarga Malaysia.
“Pada masa yang sama, amat penting bagi umat Islam memelihara hubungan bukan sahaja dengan Maha Pencipta tetapi juga dengan sesama manusia.
“Sekali saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan Selamat Berpuasa kepada seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam,”katanya. – Edisi 9