29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Peraturan baharu atasi isu pengisian RON95 kenderaan asing

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BAGI mengatasi kegiatan pengisian minyak petrol RON95 oleh kenderaan yang didaftarkan di luar negara secara berleluasa, kerajaan akan mengumumkan peraturan baharu tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sudah memperhalusi dan memperkemas undang-undang sedia ada dan berharap ia dapat menangani masalah itu dengan lebih baik.

“Ia tepat pada masanya susulan sempadan negara dibuka semula 1 April lalu, memperlihatkan masih wujud aktiviti haram itu di sekitar persempadanan negara di utara Malaysia-Thailand.

“Kita sedar, sebab kita lihat pada apa yang tular dan ada aduan, memang sejak sempadan dibuka beberapa hari ini didapati kenderaan-kenderaan negara asing menggunakan petrol RON95.

“Sebenarnya RON95 yang bersubsidi ini tak boleh digunakan oleh kenderaan asing,” katanya lapor Astro AWANI.

Nanta berkata, selama ini, pihak kementerian memang meminta kerjasama pengusaha stesen untuk memantau dan melarang pemilik kenderaan asing berpendaftaran luar mengisi RON95 yang bersubsidi itu.

“Bagaimanapun, perbuatan itu masih diteruskan,” katanya.

Katanya, pihak KPDNHEP tidak memiliki kemampuan tenaga kerja untuk membuat pemantauan di setiap stesen minyak di wilayah terbabit.

“Sehubungan itu, peraturan baharu yang dikatakan lebih menyeluruh itu diharap dapat memperbaiki kelompongan yang ada.

“Kita hanya ada lebih 2,000 anggota penguat kuasa di seluruh negara, kalau nak minta pantau di setiap stesen memang tak cukup sebab kita perlu juga mengawal di kawasan dan sektor lain.

“Negara kita akan rugi banyak kalau mereka ini datang dan mengambil kesempatan untuk mengisi minyak yang disubsidikan khusus untuk rakyat Malaysia ini,” jelas Nanta.

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan