27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

6 pelajar Malaysia ke Harvard kebanggaan negara – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah di atas pencapaian enam pelajar dari Malaysia yang akan menjejakkan kaki ke Harvard College, sekolah peringkat sarjana muda bagi Universiti Harvard.

Perdana Menteri dalam satu hantaran di Facebook menyatakan enam pelajar ini adalah Chooi Je Qin dari Johor, Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang, Carisma Michaela Wong dari Sabah, Lee Ee Jenn dari Kuala Lumpur dan Alyssa Yap Xin Yi dari Sarawak.

“Pencapaian membanggakan buat Malaysia! Tahniah saya ucapkan kepada enam pelajar muda tanah air yang akan menjejakkan kaki ke Harvard College, sekolah peringkat sarjana muda bagi Universiti Harvard yang merupakan universiti terkemuka dunia.

“Kesemua mereka akan menamatkan pengajian di Harvard pada tahun 2026. Anda adalah kebanggaan Keluarga Malaysia,” katanya hari ini.

Ismail Sabri turut mendoakan agar kesemuanya beroleh kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

Terdahulu, media melaporkan mengenai pencapaian berkenaan dan menyatakan ia adalah jumlah tertinggi bilangan pelajar dari Malaysia yang diterima masuk ke Harvard pada tahun yang sama, setelah menewaskan permohonan sebanyak 61,220 pelajar dari seluruh dunia.

Ia merupakan pencapaian luar biasa kerana kadar penerimaan Harvard tahun ini adalah kadar terendah dalam sejarah universiti tersebut iaitu sebanyak 3.19 peratus.

Alumni pelajar Harvard, Wan Nadiah Wan Mohd. Abdullah Yaakob meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan lima pelajar Malaysia diterima masuk ke universiti itu.

Advertisements

“Kami sangat gembira apabila lima pelajar Malaysia memecahkan rekod diterima ke Kolej Harvard dalam satu tahun. Paling banyak dua pelajar yang diterima masuk setiap tahun dan kadangkala tiada,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Nadiah yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Bhd. dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Thomson Kota Damansara turut kagum dengan kepintaran kelima-lima pelajar tersebut.

“Sebagai contoh, Je Qin terlibat dalam pelbagai Olimpik Astrofizik dan Astronomi. Ishant ialah pemain skuasy negara. Herman mempunyai pengetahuan luas dalam bidang biologi. Carisma mengadakan penyelidikan mengenai sejarah Sabah dan Ee Jenn mewakili Malaysia dalam pertandingan debat.

“Melihat latar belakang mereka, jelas bahawa tidak ada seorang pun merupakan pelajar Harvard tipikal, walaupun mereka semua berkongsi dedikasi untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang yang mereka minati,” katanya.

Keluarga yang berpendapatan di bawah AS$75,000 (RM316,000) setiap tahun tidak akan dikenakan sebarang bayaran yuran, sebaliknya akan ditaja sepenuhnya oleh Harvard.

Justeru, dua lagi alumni pelajar Harvard, Nick Khaw dan Jacintha Tagal menyeru semua pelajar di Malaysia agar turut mencuba nasib di Harvard.

“Malaysia mempunyai bakat luar biasa dan memandangkan soal kewangan bukan penghalang untuk menyertai Harvard, kami ingin menggalakkan lebih ramai anak muda Malaysia untuk memohon,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan