26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

‘Ouster clause’ Akta Pertubuhan perlu dikaji semula – Muhyiddin

Sekiranya pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan RUU Antilompat Parti dapat dibentang diluluskan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

OUSTER clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 perlu dikaji semula sekiranya pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan diluluskan.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada ahli-ahli Parlimen yang terkesan dengan undang-undang antilompat parti mendapat keadilan di mahkamah sebelum individu berkenaan dikehendaki mengosongkan kerusinya.

Beliau juga berharap mana-mana kerajaan yang memerintah pada masa akan datang tidak sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang antilompat parti yang boleh dipinda dengan sokongan majoriti mudah bagi mendiskriminasi mana-mana ahli Parlimen.

“Dalam apa jua keadaan pun, pertimbangan yang paling utama mestilah untuk menegakkan hak dan keadilan.

“Inilah fungsi utama Perlembagaan dan undang-undang di negara kita dan kita sebagai ahli Parlimen adalah penjaga atau dengan izin, custodian, kepada Perlembagaan dan undang-undang.

“Oleh itu, walaupun saya secara dasarnya bersetuju supaya pindaan perlembagaan dibuat untuk membolehkan sebuah undang-undang yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri digubal, pindaan perlembagaan ini mestilah dibuat secara berhemah, teliti dan berhati-hati,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyatakan sokongan terhadap RUU berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti.

Menurutnya, dalam siri libat urus mengenai RUU itu, beliau telah menyatakan beberapa pandangan antaranya meminta kerajaan mengkaji semula definisi lompat parti.

“Saya tidak bersetuju seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya atas apa jua sebab dikira sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

“Ada banyak sebab seorang ahli Parlimen dipecat dari parti atau meninggalkan partinya. Ada yang dipecat kerana melanggar disiplin parti, atau kerana dengan izin cross the floor, atau kerana menyatakan sesuatu yang hak tetapi tidak disenangi oleh pemimpin parti lalu dipecat dari partinya, atau kerana partinya telah lari dari landasan prinsip perjuangannya yang sebenar serta memudaratkan rakyat dan negara,” katanya.

Menurutnya, keempat-empat situasi berkenaan adalah berbeza.

“Kalau sekiranya undang-undang anti lompat parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian, maka undang-undang yang diperkenalkan ini adalah zalim.

“Maka, pengecualian dan perlindungan tertentu mestilah diberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang akan terkesan dengan undang-undang ini,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah pun boleh terus kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga kesnya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, dan sekiranya dia memohon untuk mendapatkan pengampunan, sehingga petisyen pengampunannya diputuskan yang keseluruhan prosesnya mungkin memakan masa bertahun.

“Tetapi seorang Ahli Parlimen yang menyuarakan kebenaran dan dipecat oleh partinya mesti mengosongkan kerusinya serta-merta. Tidak ada ruang untuk Ahli Parlimen ini mencabar keputusan partinya di mahkamah kerana adanya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

“Rayuan hanya boleh dibuat kepada Majlis Tertinggi parti yang tentunya dikawal oleh pemimpin parti. Adakah ini adil? Is this fair?,” tegas Presiden Bersatu itu.

Beliau berpendapat, sekiranya inilah kedudukan undang-undang yang akan terpakai, maka tidak akan ada Ahli Parlimen yang berani menegur pemimpin parti yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, yang mengamalkan rasuah dan penyelewengan, kerana bimbang akan dipecat dari parti dan seterusnya hilang kerusi Parlimen yang disandang.

“Ini akan menjadi suatu titik hitam dalam sejarah amalan demokrasi di negara kita. Dengan izin, members of parliament who represent the will of the people will be muted and silenced by the cabbal who controls a political party. We are putting the interests of a political party first before the people,” katanya.

Menurutnya, pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mestilah jelas maksudnya, iaitu untuk membuat sekatan hanya ke atas Ahli Parlimen yang merupakan ahli sebuah parti politik untuk meninggalkan partinya dan menyertai sebuah parti lain.

“Pindaan ini tidak boleh merangkumi perkara-perkara lain yang boleh dikira menyekat kebebasan berpersatuan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.

“Saya khuatir sekiranya pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ini merangkumi maksud yang terlalu luas, maka ia boleh disalahguna di kemudian hari untuk menafikan hak dan kebebasan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyatakan kebenaran dan mengambil pendirian dalam hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, pindaan berkenaan tentunya akan memberikan kesan yang amat besar terhadap hak kebebasan berpersatuan bagi rakyat di negara ini yang selama ini dipertahan dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Sekatan ke atas hak kebebasan asasi ini hanya boleh dibuat oleh sebuah Akta Parlimen atas sebab keselamatan negara, ketenteraman awam dan moral. Menurutnya, tidak ada alasan lain yang boleh digunakan untuk menyekat hak kebebasan seorang wakil rakyat samada untuk menubuhkan sebuah parti politik, menyertai parti politik, meninggalkan parti politik atau tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Inilah precedent atau duluan kes yang menjadi prinsip undang-undang yang diterima di negara kita.

“Namun, jika Dewan yang mulia ini meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan yang dibentangkan pada hari ini, maka hak kebebasan asasi untuk berpersatuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan selama ini akan disekat dengan sekatan-sekatan yang akan diperincikan dalam sebuah Akta yang akan digubal kemudiannya,” katanya.

Malah beliau turut mengingatkan kesemua yang berhormat memikul suatu beban tanggungjawab yang besar untuk sentiasa melindungi hak kebebasan asasi rakyat, termasuk hak kebebasan sebagai wakil rakyat.

“Justeru, pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang ada di hadapan kita pada hari ini bukanlah suatu perkara yang kecil. Ia bukan semata-mata suatu hal yang berkaitan dengan kepentingan politik atau kepentingan mana-mana parti, tetapi berkait dengan soal keadilan dan kebebasan yang mesti kita bela dan pertahankan,” katanya. -EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan