27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Malaysia berpotensi jadi hab pengeluaran kereta elektrik – PM

Melalui penubuhan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA berpotensi menjadi hab pengeluaran kereta elektrik bagi rantau ini melalui pembukaan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan AHTV yang telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu dapat memantapkan operasi pengilangan Proton dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, agar lebih berpusat dan mampu meningkatkan produktiviti.

“Pembangunan ini juga dilihat dapat menarik minat pelabur-pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

“Jika di negara lain seperti Amerika Syarikat boleh bangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya, tidak mustahil satu hari nanti, Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan AHTV di Tanjung Malim, Perak hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Perdana Menteri berkata, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

Ismail Sabri Yaakob ketika hadir bagi melancarkan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.

Katanya, pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang tahun 2030.

“Pada masa sama, AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri ini.

“Secara tidak langsung, pembangunan berkenaan dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi mutakhir.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan berharap projek pembangunan ini akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau.

“Insya-Allah, dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya.

“Diharapkan agar pelancaran AHTV ini menjadi penanda aras kepada satu lagi pembangunan negara yang berimpak tinggi dan memacu kejayaan negara secara holistik,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin dan percaya, dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini.

“Bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan, dan juga penyelidikan, saya mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang juga terletak dalam wilayah Lembah Berteknologi Tinggi, membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Pusat Latihan dan Penyelidikan Automotif Termaju (CAART).

“Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, CAART di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.

“Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV ini dapat dilestarikan secara produktif,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan