27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

ALR ambil alih konsesi 4 lebuh raya di Lembah Klang

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBUAH syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan, akan mengambil alih konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang.

Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol, akan mengambil alih Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuh Raya Damasara-Puchong (LDP).

Memperincikan perkara itu, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penstrukturan semula menerusi kaedah itu menyaksikan tiada lagi pemegang saham dalam apa juga bentuk seperti dividen.

Beliau berkata, pemegang saham sedia ada dalam konsesi semasa empat lebuh raya berkenaan antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), Permodalan Nasional Berhad Malaysia (PNBM) dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan pelaburan lebih awal daripada sepatutnya.

“Kerajaan juga tidak boleh mengabaikan kewajipannya dalam perjanjian konsesi sedia ada kerana ia akan memberikan imej negatif kepada pelabur yang akan menyebabkan kekurangan minat pelabur untuk melabur di Malaysia.

“Jika ini berlaku, pelaburan dalam negara akan berkurang dan menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran, selaras dasar penswastaan yang mana syarikat swasta masih bertanggungjawab mengendalikan operasi serta menyelenggara lebuh raya berkenaan.

“Kerajaan juga memastikan ALR perlu menyerap semua kakitangan sedia ada yang sedang berkhidmat di bawah keempat-empat syarikat konsesi berkaitan.

“Dengan itu, tiada isu pembuangan pekerja berhubung cadangan penstrukturan ini, justeru status bagi semua pekerja di bawah syarikat konsesi ini adalah terjamin,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor BH Online.

Fadillah berkata, cadangan sebelum ini membabitkan jaminan kerajaan, pengambilalihan syarikat dan keseluruhan entiti lebuh raya, selain kemungkinan lanjutan tempoh konsesi.

Katanya, kaedah itu bercanggah dengan dasar penswastaan yang bakal akan memberi kesan negatif terhadap pelabur.

“Dengan cadangan penstrukturan semula ini, tiada lagi kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuh raya terbabit, dibanding dengan peruntukan perjanjian konsesi asal yang memperuntukkan kenaikan tol bagi lebuh raya berkenaan secara berkala antara lima ke tujuh tahun mengikut perjanjian konsesi masing-masing.

Advertisements

“Kerajaan tidak mengeluarkan perbelanjaan bagi transaksi ini atau jaminan untuk pembiayaan ALR, selain tidak perlu menanggung sebarang kos penyenggaraan dan operasi susulan langkah penstrukturan semula.

“Syor ALR untuk mengekalkan kadar tol melalui perjanjian konsesi tambahan adalah membabitkan semua kelas kenderaan bagi keempat-empat syarikat konsesi.

“Bagi membantu ALR mencapai objektif penubuhannya, kerajaan bersetuju memberi lanjutan tempoh konsesi kepada KESAS, LDP, SPRINT dan SMART sebagai balasan tidak menaikkan kadar tol.

“Namun, lanjutan tempoh konsesi ini bukanlah hak eksklusif syarikat konsesi dan tertakluk kepada bilangan trafik serta analisis oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Berikutan penstrukturan semula itu, Fadillah berkata, penjimatan diraih kerajaan menjangkau RM4.3 bilion boleh dimanfaatkan bagi tujuan kesejahteraan rakyat yang perlu diutamakan, antaranya kemudahan infrastruktur negara.

Beliau berkata, amanat dan prinsip penstrukturan ALR selaras prinsip Keluarga Malaysia yang sentiasa mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.

“Usaha ALR untuk memuktamadkan pembelian syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ini adalah suatu inisiatif cadangan penstrukturan daripada pihak swasta yang memberikan situasi menang-menang serta menguntungkan kerajaan dan rakyat.

“Kerajaan mengalu-alukan pihak swasta untuk tampil dengan terma sedemikian, di mana tiada sebarang kenaikan kadar tol dan pihak syarikat konsesi akan memulangkan lebuh raya kepada kerajaan sejurus melunaskan hutang kewangannya.

“Penambahbaikan ini bakal memberikan kelegaan kepada rakyat di samping memenuhi kewajipan pelabur,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan tiada kenaikan kadar tol di empat lebuh raya berkenaan sehingga tamat tempoh konsesi, sekali gus bakal memberi penjimatan bayaran pampasan dari 1 Januari lalu yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan