29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pelajar sekolah ditahan terlibat sindiket jual lesen memandu palsu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PELAJAR sekolah, antara dua lelaki yang ditahan di sebuah rumah di Durian Tunggal, Melaka, kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan menjual lesen memandu palsu.

Kedua-dua suspek berusia 17 dan 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Cheras dalam serbuan pada pukul 10.05 malam.

Ketua Jabatan JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, serbuan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 40 tahun membabitkan kerugian RM490.

Katanya, mangsa mendakwa melihat iklan di Facebook menawarkan perkhidmatan membuat lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Selasa lalu.

“Pengadu kemudian menghubungi nombor tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan itu, mangsa dijanjikan lesen memandu dengan bayaran RM490.

“Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, suspek masih meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan. Curiga dengan suspek, pengadu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahidisham berkata, polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses lesen palsu.

Ujar beliau, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak 2016 dan seorang suspek masih bersekolah dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Dua suspek itu direman tiga hari berakhir esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan lesen memandu melalui kaedah betul dan sah,” ujarnya.

Sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, Pusat Respon Penipuan JSJK (03-2610 1559/1599), talian WhatsApp (013-2111 222), mana-mana balai polis berdekatan atau layari laman web semakmule.rmp.gov.my.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan