26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

UNM siasat syarikat pembersihan guna PATI

Mesti Baca

UNIVERSITI Nottingham Malaysia (UNM) akan menjalankan siasatan dalam terhadap syarikat pembersihan kawasan kampusnya di Semenyih, Selangor selepas didapati menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja sehingga diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Isnin lalu.

Pengarah Bahagian Pengambilan Pelajar dan Pemasaran UNM, Jagdish Singh syarikat kontraktor terbabit nyata telah melanggar syarat kontrak yang mana mereka perlu memastikan semua pekerja mereka bebas daripada melanggar sebarang undang-undang.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan tersebut dijalankan sebelum tindakan terhadap kontraktor tersebut diambil.

“UNM terkejut dan kecewa dengan kejadian penangkapan 33 pekerja kontraktor perkhidmatan pembersihan dan landskap di kampus kami di Semenyih kerana melanggar undang-undang imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Imigresen Malaysia dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerbu sebuah universiti swasta ternama di Semenyih, Selangor pada 7 Mac lalu dan menahan 33 PATI pelbagai warganegara yang bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka terdiri daripada 27 warga Indonesia, empat rakyat Pakistan serta masing-masing seorang warga Bangladesh dan Nepal.

Menurut beliau, tangkapan tersebut hasil pemantauan dan risikan di universiti berkeluasan 118 ekar dan terbahagi kepada 10 blok utama itu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kesemua warga asing berkenaan bekerja dari pukul 7 pagi sehingga 4.30 petang di universiti antarabangsa itu.

“Operasi bermula pada pukul 11 pagi dengan kekuatan seramai 28 orang pegawai Imigresen dan telah memeriksa 40 orang warga asing dari pelbagai warganegara yang berumur lingkungan 22 hingga 67 tahun.

Jagdish berkata, UNM mempunyai hampir 600 kakitangan di bawah universiti itu dan pada masa yang sama melantik kontraktor luar untuk perkhidmatan pembersihan, keselamatan, landskap dan baik pulih.

Katanya, ketika melantik kontraktor luar, UNM telah menetapkan syarat bahawa semua pekerja terbabit bebas daripada kesalahan undang-undang.

Beliau memohon maaf dengan gangguan jangka pendek yang berlaku sehingga menjejaskan kakitangan dan pelajarnya di kampus tersebut.

Jelasnya, UNM kini sedang berusaha untuk mengenal pasti kontraktor baharu bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan secepat mungkin. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan