26.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Tanah runtuh: Lebih 200 penghuni diarah kosongkan kediaman

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LEBIH 200 penduduk Taman Bukit Permai 2, Ampang, Selangor melibatkan 48 rumah diarah mengosongkan kediaman masing-masing bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan itu diambil susulan hasil pemantauan awal dilakukan mendapati terdapat rekahan yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah.

“Kita perlu melakukan kajian terperinci berhubung perkara itu kerana dibimbangi pergerakan tanah masih berlaku disebabkan rekahan terbabit.

“Di peringkat awal, evakuasi adalah perkara yang paling penting untuk dilakukan sebelum kita buat pembersihan dan dalam tempoh dua hingga lima hari kita boleh nyatakan sama ada kawasan itu selamat atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, sumbangan sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada empat keluarga mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh semalam.

“Bantuan lain sedang diperincikan kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban mangsa,”katanya.

Advertisements

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr. Ani Ahmad berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disediakan bagi menempatkan penduduk yang terkesan.

“Bagaimanapun, tiada penduduk yang tinggal di PPS berkenaan. Mereka memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa yang berdekatan,” katanya.

Dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai petang semalam mengorbankan empat daripada lima individu dengan mangsa terakhir ditemukan pada pukul 1.55 pagi ini.

Mereka terdiri daripada penghuni kediaman yang tertimbus serta seorang pekerja Air Selangor yang tidak sempat menyelamatkan diri ketika kejadian kira-kira 5.30 petang semalam.

Mereka disahkan terbunuh ialah Chong Siew Kim, 85; E Ramasamy, 58; A Mahendran, 36; dan Mohd Saiful Ridzuan Ishak, 37.

Seorang lagi mangsa yang cedera ialah Cheng Kim Cheng berusia 85 tahun yang sedang menerima rawatan di Hospital Ampang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan