24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

PM contoh terbaik martabat bahasa Melayu dalam, luar negara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LANGKAH Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan bahasa Melayu ketika acara lawatan rasmi di luar negara merupakan contoh terbaik bagi memartabatkan bahasa kebangsaan berkenaan.

Tindakan berkenaan bukan hanya mendapat pujian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bahkan membuka lembaran baharu mengangkat kembali bahasa Melayu sebagai bahasa penghubungan antarabangsa.

Menurut kenyataan bersama 10 Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Perdana Menteri telah menjadi satu contoh terbaik kepada semua kepimpinan pelbagai peringkat yang mengutamakan bahasa Melayu ketika mengadakan sidang media bersama pemimpin negara Brunei, Kemboja dan terbaharu adalah Thailand.

“Sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu, pemimpin lain tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu ini untuk menyampaikan ucaptama dalam sesuatu program bertaraf antarabangsa.

“Tindakan memperkasakan Bahasa Melayu ini sekaligus memartabatkan bahasa ibunda kita ke persada yang lebih luas terutamanya rantau ASEAN,” kata kenyataan mereka hari ini.

Bahkan mereka berkeyakinan, rakyat Malaysia tidak akan terkebelakang sekiranya menggunakan bahasa kebangsaan apabila berada di pentas antarabangsa.

“… malahan akan lebih berbangga sebagaimana negara lain yang sentiasa menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sesuatu program yang melibatkan dunia luar.

“Malaysia harus berperanan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca kepada kelompok ASEAN yang terdiri daripada 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Filipina, Myanmar dan Thailand.”

Menurut kenyataan itu lagi, sejarah The Malay Archeopilago telah membuktikan bahasa Melayu merupakan bahasa yang dipertuturkan dalam ratusan tahun yang lalu di kepulauan Melayu ini dengan menggunakan resam tulisan jawi dalam aktiviti bahasa, budaya, agama, pendidikan, pentadbiran dan aktiviti ekonomi.

Advertisements

“Melihat perkembangan yang diteladani Perdana Menteri, pentas antarabangsa adalah platform terbaik untuk kita memaparkan bahasa yang kita gunakan dalam negara kita, kini sudah tiba masanya untuk kita menggunakan bahasa kita di pentas antarabangsa.

“Gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan kita di mata dunia,” katanya.

Kata mereka, semua pihak dalam negara sama ada pihak kerajaan atau swasta perlu ditegaskan untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi di dalam negara.

10 Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang tersebut ialah Datuk Rizalman Datuk Mokhtar (Bandar Tun Razak), Datuk Mohd Yusof Ismail (Alor Setar), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (Permatang Pauh), Datuk Azhar Ahmad (Beruas) dan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Bukit Katil).

Selain itu ialah Datuk Zaluzi Sulaiman (Pengkalan Chepa), Datuk Ismail Lassim (Kuala Pilah), Datuk Zurihan Yusop (Kuala Langat), Datuk Zakaria Dullah (Simpang Renggam) dan Jeffery Nor Mohamed (Putatan).

Sebelum ini, Ismail Sabri memaklumkan bahawa Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Beliau telah menggunakan bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.

November tahun lalu, Perdana Menteri telah menegur agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan