36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KPLB komited pastikan rakyat luar bandar hidup sejahtera

Melalui pembangunan prasarana, pendidikan dan keusahawanan yang menjadi optik bagi mensejahterakan masyarakat desa

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

BAHAGIAN PERTAMA

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) merupakan salah satu portfolio amat penting dalam Kabinet kerajaan Malaysia kerana peranannya terhadap pembangunan rakyat luar bandar.

Kementerian itu kini diterajui oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid, seorang pemimpin yang berpengalaman dalam hal ‘menguruskan’ orang kampung.

Justeru, sejak menerajui KPLB pada Ogos 2021, beliau sudah tentu mempunyai perancangan dan langkah-langkah bagi mensejahterakan masyarakat luar bandar.

Ikuti temubual wartawan Edisi 9, LUKMAN ISMAIL bersama beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini yang dimuatkan dalam dua siri laporan.


Apabila Datuk Seri dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), apa yang ada dalam fikiran Datuk Seri?

Apa yang saya nampak jelas dan terang ialah naratifnya bagaimana perlu ada perkataan kesejahteraan rakyat di luar bandar dalam beberapa segmen.

Saya pun budak kampung jadi kita faham kekurangan di sana-sini di luar bandar. Sebab itu kita mahu mengangkat kesejahteraan luar bandar ini.

Dalam mensejahterakan luar bandar, ada tiga perkara yang perlu iaitu pertamanya prasarana atau kemudahan untuk rakyat seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air. Tiga asas ini kebanyakan negeri di Semenanjung berada pada tahap yang baik.

Untuk bagi Sabah dan Sarawak, prasarana bekalan air, elektrik dan jalan raya ini bagi sesetengah daerah, mukim atau kampung kita sedang berusaha untuk penuhi. Itu yang saya nampak kalau nak bercakap soal kesejahteraan.

Kedua, bidang pendidikan. Walaupun urusan pendidikan sebenarnya di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia tetapi bagi kami di KPLB, pun ada urusan berkaitan pendidikan.

Ia meliputi dua jenis. Pertamanya ialah pendidikan awal kanak-kanak. Kita ada lebih 11,000 buah sekolah KEMAS iaitu tadika dan taska. Bayangkan kalau satu sekolah ada 25 murid, berapa ramai murid yang ada di bawah KEMAS ini?

Keduanya, pendidikan satu laluan yang digemari sekarang iaitu laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET.

Di KPLB kita ada, sudah tentu paling besar di bawah MARA iaitu Giat MARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Poly-tech MARA, Kolej Profesional MARA dan terbesar adalah Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Ini pusat pendidikan yang ada kaitan dengan kursus-kursus sijil kemahiran dan juga di peringkat diploma sehingga ijazah.

Ketiganya, keusahawanan. Semua agensi ada bidang keusahawanan masing-masing. Malah KPLB sendiri ada BAHAGIAN keusahawanan yang menguruskan bidang ini. Di peringkat agensi kita ada MAR, FELCRA, RISDA, KEMAS, JKOA (Jabatan Kebajikan Orang Asli).

Di peringkat regional kita ada KEJORA di Johor, Terengganu ada KETENGAH, Kelantan ada KESEDAR, Pulau Pinang ada PERDA, Kedah ada KEDA dan Sabah Land Development Board (SLDB). Semua agensi ini ada bahagian keusahawanan luar bandar.

Jadi, prasarana, pendidikan dan keusahawan inilah optik untuk kesejahteraan mereka. Wilayah Sabah dan Sarawak kita memberi fokus bagi membantu mempercepatkan proses kesejahteraan ini.

Dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) yang dilancarkan baru-baru ini, KPLB menggariskan lapan teras. Bagaimana untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar ini?

DPLB ialah dasar itu secara keseluruhannya berkait dengan bajet atau belanjawan yang disediakan tiap-tiap tahun. Belanjawan disediakan untuk dilaksanakan.

Kita agihkan mengikut keperluan seperti yang saya sebut tadi iaitu prasarana, pendidikan dan keusahawanan. Ada beberapa yang lain lagi. Pokoknya, bagaimana belanjawan ini hendak cepat, hendak sampai kepada rakyat lebih cepat.

Dalam hal pendidikan mungkin tidak ada maslaah kerana selagi ada murid, ada guru, proses dasar pendidikan sudah ada. Tinggal sediakan sahaja peruntukan untuk dijalankan.

Apa yang lambat ini ialah prasarana. Kenapa lambat? Daripada nak dapatkan tajuk sehingga dapat kontraktor, daripada kontraktor itu sehingga hendak dilaksanakan makan masa sehingga bertahun-tahun. Sebab itulah jawatankuasa pelaksana projek kena duduk bersama antara KPLB, agensi lain dan kerajaan negeri.

Sebagai contoh, pengambilan balik tanah untuk membina jalan luar bandar sejauh 25 Km. Perunding yang nak laksanakan projek itu dilantik terus sebab kementerian kena cepat lantik. Ini bagi menggariskan pelan pembangunan, nak lukis jambatan, di mana nak potong cerun dan lain-lain.

Pegawai-pegawai KPLB kena duduk dengan kerajaan negeri di pejabat tanah negeri, jumpa pentadbir tanah, bermesyuarat dan kena berikan tempoh masa. Kena ada sistem, ada KPI. Paling awal siap dari pengambil tanah sehingga mesy exco katakanlah lapan bulan.

Dalam tempoh lapan bulan itu perunding dah kena lantik. Kalau nak kena buat jambatan, kena kira panjang dan lebarnya. Kemudan soal pelantikan kontraktor kena buat keputusan sama ada tender terbuka, tender terpilih atau rundingan terus.

Kemudian kena melalui proses di peringkat Kementerian Kewangan pula dan lembaga jawatankuasa tender. Itu belum lagi soal kontraktor yang dipilih itu terpaksa tangguh projek sebab kurang pekerja dan lain-lain masalah. Jadi ini cabaran untuk menguruskan prasarana ini.

Sasaran Dasar Pembangunan Luar Bandar adalah sehingga 2030. Kenapa ambil masa selama itu?

Bercakap soal luar bandar ia berkait rapat dengan negeri. Kita ambil satu negeri, kita lihat bekalan air baik atau tidak? Mereka kata semua baik, kecuali ada dua tiga kampung belum dapat.

Bekalan elektrik macam mana? Oh, bekalan elektrik 99.8 peratus. Ada 2 peratus di hujung-hujung jalan belum dapat. Prasarana jalan ini pula ada dua, iaitu jalan luar bandar satu lagi jalan perhubungan desa.

Begitu juga dengan soal aminiti sosial iaitu dewan, masjid, rumah ibadah, jalan menghubungkan pekan kecil ke pekan kecil. Kalau semua ini sudah lengkap ia akan mencapai sasaran. Ini termasuk juga dengan penyambungan internet tetapi itu bukan di bawah bidang KPLB.

Cerita soal prasarana ini tak akan habis. Sebab selepas lima tahun kena ada bajet untuk pembaikan pula. Tapi kita akan fokus kepada sesetengah negeri sebab setahun tak akan habis. Ini kena bawa bertahun-tahun.

Alhamdulillah, dalam tempoh 20 tahun yang lepas banyak juga kejayaan dari segi menaik taraf prasarana di kampung-kampung.

SOALAN: Negeri mana yang akan menjadi tumpuan KPLB?

Berdasarkan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) belia sebutkan beberapa negeri antaranya Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah, Terengganu. Tetapi negeri-negeri lain kita tidak perlu lupa. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan