32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Malaysia Airports sambut baik pembukaan sempadan negara

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) sebagai pengendali lapangan terbang utama negara menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembukaan semula sempadan negara pada 1 April, 2022 dan langkah negara beralih ke fasa endemik.

Pengerusi Malaysia Airports Datuk Seri Zambry Abd Kadir menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan terhadap keputusan terbaharu itu.

Beliau berkata, pembukaan semula sempadan negara tentunya menjadi titik tolak yang akan merangsang pemulihan prestasi ekonomi negara.

“Ia sekaligus akan melonjak prestasi Malaysia Airports hasil daripada tambahan bilangan pergerakan penumpang antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebelum penularan COVID-19, Malaysia menerima kunjungan pelancong seramai 26 juta, ia menjana sebanyak RM86 bilion dalam perbelanjaan pelancong.

“Menerusi pembukaan semula pintu sempadan, Malaysia bakal meraih semula punca pendapatan ini.

“Selain itu, permintaan pasaran global bagi pelbagai industri tempatan juga akan kembali meningkat dan ini semua berpotensi untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau juga memberi komitmen Malaysia Airports akan menyokong penuh semua usaha kerajaan dengan memastikan kualiti perkhidmatan di lapangan terbang sentiasa berada di tahap yang tertinggi sebagai salah satu langkah penyediaan menerima bilangan penumpang yang lebih ramai.

Malaysia Airports merupakan salah sebuah kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia daripada segi jumlah penumpang yang dikendalikan.

Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Lapangan terbang di bawah pengendalian Malaysia Airports itu merangkumi lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport).

Lapangan terbang utamanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah antara hab penerbangan pilihan rantau ini.-Bernama

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH/BN wakili kerajaan perpaduan

CALON Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan mewakili...

Lagi Artikel Berkaitan