25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, September 30, 2022

Lokar di sekolah rendah: Praktikal atau tidak?

Mesti Baca

SETELAH hampir tiga dekad dan selepas entah berapa orang menteri pendidikan bertukar ganti, isu bebanan beg sekolah murid yang berat seperti tiada jalan penyelesaian.

Entah berapa kali juga isu ini dikaji oleh pihak kementerian namun akhirnya senyap begitu sahaja.

Para ibu bapa baik melalui PIBG mahupun saluran media sosial sudah berbuih-buih mendesak kerajaan mengkaji isu bebanan beg sekolah ini, yang terpaksa dipikul oleh anak-anak seusia 7 tahun namun seolah-olah dibuai angin lalu.

Sehinggalah beberapa hari lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin akhirnya memberi bayangan bahawa masalah tersebut akan diselesaikan tahun ini.

Ini setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapat idea bagaimana untuk mengatasi masalah bebanan beg sekolah tersebut.

Menurut Radzi, KPM menggariskan tujuh pendekatan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Salah satunya ialah menyediakan lebih 10,000 lokar untuk keperluan murid Tahap 1 di sekolah-sekolah rendah dua sesi di seluruh negara.

Projek di bawah fasa pertama itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM37.3 juta yang akan dilaksanakan tahun ini.

Bagi fasa kedua membabitkan murid-murid tahap 2 untuk sekolah dua sesi akan dilaksanakan tahun depan. Itu kata Radzi.

Persoalannya, praktikalkah penyediaan lokar bagi keperluan murid-murid untuk mengatasi masalah tersebut?

Sumber; Bernama

Bagaimana dengan kos penyelenggaraan, isu keselamatan dan vandalisme, ruang yang sempit di kebanyakan sekolah rendah kerajaan, isu kepadatan murid dan lain-lain.

Itulah yang menjadi pertanyaan pihak ibu bapa susulan pendekatan baharu KPM itu.

Yang Dipertuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Teratai Ampang, Nordiana Othman berkata, pada dasarnya pendekatan KPM mahu menyediakan lokar untuk keperluan murid-murid menyimpan buku bagi mengurangkan beban beg sekolah amatlah baik.

Baca juga:   Pemuda UMNO teruslah jadi jurucakap rakyat, usah peduli ‘langau' politik
Baca juga:   Risiko kongsi swafoto berplakad 'Saya sudah divaksin'

Namun yang menjadi persoalan ialah siapa yang akan menanggung kos penyelenggaraan lokar-lokar tersebut jika berlaku kerosakan?

Apakah pihak sekolah, PIBG atau KPM sendiri akan menanggung segala kos tersebut.

Lagi pula, katanya, ini bukanlah kali pertama pendekatan penyediaan lokar dilaksanakan kerana sebelum ini ada pihak swasta yang menyediakan lokar di sekolah-sekolah dengan kadar sewaan tertentu, yang ditanggung oleh ibu bapa.

“Pendekatan ini sangat bagus tetapi bagaimana dengan pelaksanaannya. Kami tidak setuju seandainya nanti kos tersebut akan ditanggung oleh ibu bapa kerana akan membebankan ibu bapa yang kurang berkemampuan.

“Begitu juga sekiranya kos ini akhirnya ditanggung oleh pihak sekolah kerana ia sudah tentu membebankan kewangan sekolah, yang akhirnya diserahkan kembali kepada PIBG. Itu kami tidak mahu,” katanya kepada Edisi 9.

Kebimbangan ibu bapa amat berasas kerana KPM akan berdepan dengan banyak isu lain yang berkaitan dengan lokar ini.

Di tambah pula, kebanyakan sekolah kerajaan begitu longgar dari segi keselamatan, terbuka dan terdedah kepada pencerobohan dari luar sekolah.

Persoalannya, apakah peruntukan sebanyak lebih RM30 juta itu cukup untuk menampung keseluruhan kos, bukan sahaja dari segi penyediaan, pemasangan bahkan juga segi penyelenggaraan.

Itu belum kira masalah sekolah yang tidak mempunyai ruang untuk menyediakan lokar disebabkan kepadatan murid serta keterbatasan ruang.

Mahu tidak mahu lokar-lokar itu diletakan di ruangan koridor atau kantin yang akhirnya terdedah kepada hujan dan panas matahari atau menjadi mangsa vandalisme.

Baca juga:   Bangladesh jamin sedia bekal tenaga kerja diperlukan - Muhyiddin

Seorang ibu menceritakan bagaimana pengalaman di sekolah anaknya, kira-kira 7 tahun lalu apabila lokar yang disediakan oleh pihak swasta hanya mampu bertahan seminggu.

“Lokar yang pakai kunci mangga sendiri, diletak di koridor berdepan kantin di luar kelas kerana keadaan kelas yang sempit.

“Pelajar pula ramai, bangunan terdedah kepada laluan warga sekolah dan para pekerja. Selepas waktu sekolah, hanya seorang pengawal keselamatan mengawasi seluruh sekolah, yang akhirnya mampu bertahan seminggu sahaja kerana dipecah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Baca juga:   10,662 lokar disediakan atasi beg sekolah berat - Radzi

Justeru, dia mencadangkan agar penyediaan lokar itu perlu diperhalusi semula agar mengelak ia sekadar menjadi gajah putih.

Memikirkan soal keselamatan, kos penyelenggaraan dan masalah-masalah sampingan di sesetengah sekolah, soal reka bentuk lokar juga perlu diambil kira.

KPM perlu memikirkan satu rekaan lokar yang praktikal untuk ditempatkan di bawah meja murid atau di dalam kelas tanpa menggunakan ruang yang besar.

Atau, lebih baik sekiranya KPM memberi tumpuan kepada enam ketetapan lain yang digariskan untuk mengatasi masalah bebanan beg sekolah.

Ini terutamanya menyediakan buku-buku teks dalam bentuk digital, penyusunan semula jadual pengajaran dan pembelajaran (PdP), mengehadkan penggunaan buku latihan, serta menggunakan buku-buku yang hanya disediakan oleh KPM. – Edisi 9

Terkini

Ejen kosmetik diculik ke negara jiran berjaya diselamatkan

SEORANG ejen jualan produk kosmetik yang diculik dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di Tumpat, Kelantan, 13 September...

Lagi Artikel Berkaitan