28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tengku Zafrul jelaskan laporan kepada MPN bukan rahsia

Mesti Baca

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, laporan yang dibuat beliau kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) bukanlah rahsia sebaliknya ia adalah fakta-fakta ekonomi yang sudah diketahui umum.

Menurut beliau, laporan yang diberikan kepada majlis itu adalah sepertimana laporan-laporan lain yang diberikan oleh rakan-rakan Kabinet tanpa mengira mana-mana parti politik.

Beliau berkata, fakta-fakta ekonomi yang ada dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah sering disebut berulang kali baik kepada Kabinet mahupun sesiapa sahaja orang awam.

“Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya.

“Sebab tu sejak tahun lepas, kita dah cakap mengenai Akta Tanggungjawab Fiskal, untuk mengelakkan isu-isu seperti 1MDB, SSER dan sebagainya dari berlaku lagi,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Tengku Zafrul menjelaskan, sebagai Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pascapandemik Covid-19.

Katanya, perkara itu juga sudah diterangkan beliau dengan jelas melalui artikelnya yang diterbitkan oleh beberapa media tempatan pada 5 Februari lalu.

“Umum tahu keadaan ekonomi negara buat masa ini, terutamanya selepas kesan negatif yang dibawa oleh Covid.

Advertisements

“Namun seperti yang saya sebut, fokus utama kita sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa.

“Menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara banyak strategi yang telah kita rancang untuk memacu pemulihan ini melalui dua tonggak utama iaitu Jamin Kerja dan Semarak Niaga dalam Bajet 2022,” katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, rakyat Malaysia dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat.

Beliau menjelaskan, negara berada pada atas landasan yang betul yang mana aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator-indikator seperti pasaran kerja dan lain-lain.

“Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekaligus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia,” katanya.

Semalam, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau akan mendedahkan situasi kewangan negara yang disifatkan semakin meruncing selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan negara sejak Ogos lalu.

Presiden Bersatu itu ketika melancarkan PN Johor di Kota Tinggi berkata, maklumat tersebut diperoleh melalui laporan yang diterima daripada Tengku Zafrul.

Susulan kenyataan Muhyiddin itu, Pemuda UMNO Parti Sulong membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi dengan memperoleh maklumat mengenai status kewangan negara daripada Menteri Kewangan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan