ORANG ramai dinasihatkan agar membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu sebelum merancang untuk ke luar negara, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Agensi itu dalam kenyataan berkata, sekatan perjalanan ke luar negara adalah tindakan yang dikenakan oleh pihkany kepada individu dan pengarah syarikat yang tidak menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah (CKHT) dan cukai syarikat.
“Pemakluman tindakan itu akan dibuat ke alamat terakhir yang dikemas kini oleh pembayar cukai kepada LHDN melalui data percukaian terkini yang direkodkan,” kata kenyataan itu hari ini.
LHDN berkata, pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing melalui portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/.
Manakala semakan sekatan perjalanan pula boleh dibuat menerusi laman web Jabatan Imigresen Malaysia.
Kenyataan itu berkata, sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dilarang ke luar negara, mereka dinasihatkan untuk menghubungi pejabat cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai masing-masing bagi tindakan sewajarnya.
Katanya, sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh menghubungi Hasil Care Line di talian 03-89111000 / 603-89111100 (Luar Negara) atau LHDN Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN. -Bernama