31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Baki rakyat Malaysia di Ukraine selamat tiba di Poland

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BAKI seramai 11 rakyat Malaysia dan tanggungannya yang berada di Ukraine sudah selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan negara itu dengan Poland pada pukul 10.45 malam Sabtu (5.45 pagi Ahad waktu Malaysia).

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, mereka terdiri daripada sembilan warganegara Malaysia, dua tanggungan mereka serta seorang warga Singapura.

Menurut beliau, mereka merupakan kumpulan terakhir daripada 23 rakyat Malaysia yang meninggalkan Kiev setelah konflik antara Ukraine dan Rusia semakin memuncak.

Beliau berkata, kumpulan tersebut diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud yang kemudian disambut oleh dua pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Poland.

“Alhamdulillah, konvoi yang memindahkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kyiv yang diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Urkaine, Cik Fadhilah Daud telah selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.

“Konvoi tersebut telah disambut oleh dua pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Poland,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Antara rakyat Malaysia yang selamat tiba di sempadan Ukraine-Poland. – Kredit: FB Saifuddin Abdullah

Saifuddin berkata, kesemua mereka kini sedang menuju ke Warsaw dan dijangka pulang ke tanah air dalam masa yang terdekat.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Malaysia sedang berusaha membawa keluar baki 11 lagi rakyat dan dua tanggungannya keluar dari Ukraine susulan konflik yang semakin meruncing di negara itu.

Menurut Perdana Menteri, mereka kini sudah berjaya keluar daripada Kiev tetapi tidak dapat mendedahkan lokasi sebenar sekarang demi keselamatan mereka.

“Kita jangka petang nanti akan dapat berita daripada mereka… Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan mereka dan memaklumkan status dari semasa ke semasa,” katanya di Bangkok.

Beliau berkata, terdapat 23 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota Kiev dengan 12 orang daripadanya mereka sudah kembali ke tanah air.

Presiden Rusia, Vladimir Putin 24 Februari lalu telah mengisytiharkan pencerobohan pasukan tentera negara tersebut ke Ukraine serta siri serangan peluru berpandu dan roket dari pelbagai arah.

Saifuddin sebelum ini turut mengesahkan bahawa pihak kedutaan juga memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada mereka akan dipindahkan menerusi jalan darat ke negara jiran atau laluan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Boryspil dekat Kiev.

Pejabat misi diplomatik tersebut boleh dihubungi terus menerusi telefon +380 442 855 271 atau talian khas selepas waktu pejabat pukul 5 petang hingga 8 pagi iaitu +380 988 387 885.

-EDISI9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan